Lima unit lampu terangi kawasan perkuburan

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

BATU MAUNG – Hasil maklum balas umum, lima unit tiang lampu bakal dipasang di kawasan Tanah Perkuburan Islam Qariah Bayan Baru bersebelah Dewan JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti) Bukit Gedung di sini.

Kemudahan tersebut adalah hasil inisiatif khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon.

Turut terlibat adalah Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Mohd. Rashid ketika ditemui berkata, usaha tersebut diambil bagi memastikan keselesaan dan keselamatan rakyat selaras dengan cogan kata Kerajaan Negeri iaitu Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

“Bukan itu sahaja, ia juga memudahkan pengurusan jenazah di sini andai kata ada yang perlu dikebumikan pada waktu malam.

“Diharap masyarakat di sini dapat memanfaatkan sepenuhnya pemasangan lima unit lampu jalan di kawasan ini,” jelasnya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan program gotong-royong anjuran bersama pejabatnya dengan Jawatankuasa Qaryah Masjid Umar ibn al-Khattab, Bayan Baru di Bukit Gedung.