GPS untuk pelihara pokok gaharu

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh mencadangkan supaya sistem Global Positioning System (GPS) diimplementasikan bagi mengelak kes kecurian pokok gaharu atau nama saintifiknya, Aquilaria Malaccensis yang mempunyai nilai pasaran tinggi di sini.

Kata beliau, melalui inisiatif tersebut, pihak berwajib dapat memantau sama ada pokok berkenaan telah ditebang, dicuri ataupun sebaliknya, malah, tindakan segera juga dapat diambil.

“Ini adalah untuk terus memelihara pokok gaharu daripada ancaman penebang pokok haram yang meraih keuntungan hasil daripada jualan.

“Pokok gaharu lazimnya mempunyai nilai tinggi di pasaran kerana semua bahagian pokok dari batang, kulit, daun, bunga dan rantingnya dapat dijual serta dijadikan sebagai minyak wangi, ubat ubatan, kosmetik ataupun alatan sembahyang,’’ katanya ketika menjayakan Program Penanaman Pokok Gaharu di Taman Perbandaran (Youth Park) di sini baru-baru ini.

Pada penganjuran tersebut, sejumlah 450 anak pokok gaharu ditanam di sekitar kawasan Taman Perbandaran di sini hasil kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kelab Lions Tanjung & Georgetown, Kerajaan Negeri, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Jabatan Perhutanan Negeri dan 20 NGO lain.

Hadir sama, Presiden Kelab Lions Tanjung, Ln Choo Eng Hin dan Pengarah Rekreasi, Pelancongan dan Perhubungan Antarabangsa MPPP, Mohamed Akbar Mustapha.

Menurut Eng Hin, selain menjaga ekosistem pokok gaharu agar terus terpelihara, projek penanaman tersebut juga bertujuan untuk meningkatkan sumber pokok serta kualiti udara.

“Penanaman ini akan meningkatkan kualiti udara melalui penyerapan dan penapisan dengan nilai pulangan yang tinggi pada masa hadapan.

“Ianya adalah sesuai dengan misi Kelab Lions iaitu ‘Berkhidmat’ untuk masyarakat tempatan dan melindungi planet (alam sekitar) ini’,” ujar beliau.