Taman Pandan perintis polisi Segregation At Source

 

BUTTERWORTH – Seberang Perai dipilih sebagai salah satu bandar raya di Asia untuk projek perintis Climate and Clean Air Coalition (CACC) Bank Dunia, selain Dhaka, Bangladesh dan Hanoi, Vietnam.

Justeru, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Maimunah Mohd. Sharif melahirkan rasa bangga dengan penglibatan komuniti Taman Pandan di sini dalam Program Pengurusan Sisa Organik bersama-sama CACC.

Menurut beliau, penglibatan itu adalah projek kajian perintis yang diguna pakai oleh Kerajaan Negeri bagi mengubal polisi Segregation At Source.

“Di Seberang Perai, tiga lokasi yang dipilih adalah Park View, Pangsa PPR Ampangan dan Pangsapuri Taman Pandan.

“Pemilihan Taman Pandan ini merupakan satu pilihan yang tepat memandangkan komuniti di sini memang aktif dalam program seperti pengkomposan, kitar semula dan lain-lain sejak tahun 2002 lagi,” ujarnya pada majlis perlancaran tersebut di sini baru-baru ini.

Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Tan Ah Kuang (Naib Pengerusi Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Taman Pandan) turut hadir pada majlis itu.

Menerusi projek kajian perintis ini, Maimunah berkata, suatu garis panduan penyediaan dasar, teknologi, kewangan dan penyertaan pihak swasta akan dihasilkan.

Tambahnya lagi, hasil kajian itu turut akan dibentangkan dalam satu jawatankuasa kecil yang dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga, Teh Yee Cheu, sebelum dipraktikkan oleh MPSP dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

“Setelah hasil kajian dibentangkan, kita akan mendapat ciri-ciri profil yang diperlukan.

“Daripada data-data yang dikumpul, jawantankuasa tersebut akan menggubal dasar dan mewujudkan satu undang-undang baru mengenai pengurusan sisa pepejal,” jelasnya.

Dalam pada itu, Boon Poh berkata, program perintis tersebut patut dijadikan batu loncatan untuk mengubah gaya hidup komuniti supaya lebih menjaga alam sekitar.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang ini berpunca daripada sikap manusia yang tidak mementingkan alam sekitar.

“Masih belum terlambat untuk kita mengubah situasi ini…saya harap program perintis ini dapat diteruskan sebagai amalan dalam kehidupan harian kita,” tegas Boon Poh.