Kem Hijau, medium untuk melestarikan alam

Admin

ISTILAH ada menyebut, ‘Mencegah itu lebih baik daripada mengubati’. Adalah tidak syak lagi bahawa apa juga langkah pencegahan perlu diambil untuk melestarikan alam sekitar kita agar ianya dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

Sehubungan itu, Penang Green Council (PGC) dengan kerjasama Malaysia Hindu Sangam Bukit Bendera Council telah menganjurkan satu lagi Kem Hijau pada tahun ini.

Kem ini turut mendapat sokongan daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Sungai. Kem Hijau ini merupakan kem yang ketiga bagi tahun 2017 dan ianya telah dikendalikan dalam Bahasa Tamil.

Seramai 50 peserta yang berumur antara 9 sehingga 12 tahun telah menyertai kem ini. Kem Hijau merupakan program yang dikhaskan untuk kanak-kanak mempelajari asas-asas kemampanan dan peranan mereka terhadap kelestarian alam sekitar dalam tempoh yang singkat.

Selaras dengan pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa di Punca oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, modul Kem Hijau ini memberi keutamaan terhadap pengasingan sisa di punca di samping pengetahuan mengenai penjimatan air dan tenaga.

Para peserta bukan sahaja memperoleh ilmu pengetahun malahan mereka juga berpeluang untuk mempelajari cara membuat beg sendiri menggunakan kertas dan pakaian lama.

Eksekutif Program dan Projek Penang Green Council, Renuka Radakrishnan berkata, “kem Hijau ini merupakan kem pendidikan yang menyeronokkan kerana ianya bukan sahaja melibatkan aktiviti di dalam kelas malahan juga aktiviti di luar kelas.

Kem ini bertujuan untuk memupuk pemahaman para peserta tentang hubungan saling pergantungan antara manusia dan alam sekitar.

PGC merupakan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan (NPO) yang ditubuhkan untuk memupuk dan memberi kesedaran dan pendidikan alam sekitar di Pulau Pinang. PGC telah menganjurkan beberapa siri program jaringan komuniti seperti Kem Hijau, Kem Hijau Muda, Bengkel Kepenggunaan, Kem Remaja, dan W3 Bengkel Wanita & Alam Sekitar sebagai usaha untuk mendekati masyarakat.

Bagi mereka yang berminat untuk menjadi pihak penganjur bersama, sila hubungi kami di 04 – 250 3322/3321 atau e-mel: [email protected]. Hasil sumbangan, PGC.