Guan Eng saman fitnah Ketua Pemuda UMNO negeri

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Shaik Hussein Mydin baru-baru ini berdepan tindakan saman gara-gara didakwa mengfitnah Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng kononnya menerima rasuah dalam proses bidaan tanah kontroversi di Taman Manggis, di sini.

“Mengfitnah orang bukan amalan kebebasan bersuara. Mengfitnah orang lebih teruk dari membunuh.

“Sebab itu, adalah perlu kita mengambil langkah (saman fitnah) ini ke muka pengadilan (mahkamah) seperti dua kes (akhbar) Utusan (Utusan Malaysia) dibuktikan mengfitnah saya di Mahkamah ini sebelum ini,” ujar beliau di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, di sini.

Hadir bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo mewakili Guan Eng.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Teresa Kok Suh Sim (Ahli Parlimen Seputeh) turut hadir pada sidang media itu.

Dalam writ saman yang difailkan di Mahkamah, Shaik Hussein pada 5 Oktober tahun lepas didakwa berniat jahat kerana menuduh Guan Eng menerima rasuah daripada syarikat Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) semasa proses membida tanah Taman Manggis, di sini dilangsungkan.

Writ saman itu menyebut, defendan secara verbal didakwa mengeluarkan kenyataan melulu serta tidak bertanggungjawab kepada wartawan kanan, Susan Loone sebagaimana dilaporkan di portal berita Malaysiakini.com.

Dalam artikel bertajuk ‘Penang BN: 30 day payment period is discriminatory’, laporan berita itu menyebut, “Shaik Hussein menuduh Lim (Guan Eng) terlibat di dalam rasuah apabila beliau menyatakan bahawa Lim telah ‘menerima rasuah’ daripada syarikat tersebut – Kuala Lumpur International Dental Centre – yang berjaya di dalam bidanya untuk membangunkan tanah tersebut kepada sebuah pusat perubatan.

Jagdeep dari Firma Tetuan Karpal Singh & Co. dalam kenyataan bersama memberitahu, writ saman tersebut turut menuntut perintah injunksi melarang defenden serta sekutu-sekutunya daripada mengulangi kenyataan berniat jahat berwajib sehinggalah proses perbicaraan kes selesai.

JAGDEEP Singh Deo. (depan, kiri sekali) menunjukkan artikel yang disiarkan sambil diperhatikan Ketua Menteri pada majlis sidang media di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
JAGDEEP Singh Deo. (depan, kiri sekali) menunjukkan artikel yang
disiarkan sambil diperhatikan Ketua Menteri pada majlis sidang
media di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Shaik Hussein dalam kenyataan berasingan berdalih bahawa langkah pentadbiran Guan Eng itu seakan mencemar semangat demokrasi di negeri berkenaan.

“Saya masih membuka ruang dialog dengan dia (Guan Eng) bahawa kita perlu membuktikan kes ini di ‘mahkamah rakyat’ sebelum dibuktikan di Mahkamah (Tinggi Pulau Pinang) ini,” dalih beliau.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng sebelum ini pernah memenangi dua kes saman fitnah membabitkan akhbar bernama Utusan Malaysia sebelum saman fitnah dilakukan ke atas Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang baru-baru ini.