Guan Eng saran perluas penguasaan sains ke kawasan luar bandar

Admin

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ait Putih, Lim Guan Eng menyarankan Kerajaan Negeri untuk memperluaskan penguasaan sains ke kawasan-kawasan luar bandar.

Jelasnya, inisiatif tersebut penting dalam usaha mempersiapkan Pulau Pinang bagi menghadapi cabaran revolusi Industri 4.0.

“Pertambahan jumlah pengunjung ke Pameran Sains Antarabangsa Pulau Pinang baru-baru ini menunjukkan bahawa berlaku peningkatan dalam kalangan pelajar-pelajar luar bandar yang menyertai program berkaitan sains yang dilaksana oleh Kerajaan Negeri.

“Oleh sebab itu, dengan slogan “Data adalah Raja, Bakat adalah Segalanya”, Kerajaan Negeri mula melabur dalam kelas latihan serta bengkel untuk pengekodan komputer melalui Penang Science Cluster (PSC) serta penekanan kepada pendidikan STEMA (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik dan Akaun/Seni) melalui Penang Future Foundation Fund sejak tahun 2015,” ujar beliau semasa sesi perbahasan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menjelaskan, Kerajaan Negeri turut membina Perpustakaan Digital bagi menempatkan buku-buku khas mata pelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) sebagai pelaburan dalam mengukuhkan lagi asas Industri 4.0.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga mewujudkan Pusat Pembelajaran Karpal Singh yang memberi penekanan kepada pendidikan STEM selain Penang Tech Dome dan Pesta Sains Antarabangsa Pulau Pinang.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri sememangnya berhasrat untuk meneruskan inisiatif-inisiatif terdahulu seperti perpustakaan digital, PSC, Tech Dome, pusat tuisyen rakyat yang bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat muda bagi memenuhi keperluan industri pada masa akan datang,” katanya yang juga mantan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING