Pentadbiran bersih membolehkan Pulau Pinang catat lebihan belanjawan setiap tahun – Guan Eng

GEORGE TOWN – Amalan pentadbiran bersih berasaskan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) meletakkan Pulau Pinang sebagai satu-satunya negeri di negara ini yang berjaya mencatatkan lebihan belanjawan setiap tahun sejak 2008.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng berkata, di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, Pulau Pinang berjaya menaikkan rizab aset sehingga mencecah RM2.1 bilion berbanding hanya RM849 juta pada tahun 2007.

“Hutang Kerajaan Negeri juga berkurangan sebanyak 90 peratus iaitu kepada RM63 juta, sekaligus meletakkan Pulau Pinang sebagai negeri yang mempunyai kadar hutang paling rendah di negara ini.

“Ini juga menjadikan kedudukan kewangan Pulau Pinang lebih baik berbanding negeri-negeri yang dipimpin oleh parti-parti lawan termasuk Putrajaya semasa di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan semasa sesi perbahasan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di sini sebentar tadi.

Malah, Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita Pulau Pinang juga menunjukkan peningkatan daripada RM31,381 pada 2007 kepada RM49,873 pada tahun lalu.

“Kita (Pulau Pinang) terus menjadi destinasi pilihan pelaburan langsung asing pembuatan berjumlah RM8.5 bilion pada tahun lepas.

“(Dan) apa yang paling penting adalah kekayaan ini harus dikongsi bersama oleh semua lapisan masyarakat melalui pelbagai program melalui konsep masyarakat penyayang,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING