Guan Eng zahir sokongan penuh, harap PDRM jalankan tugas ikut lunas undang-undang

Admin

BAGAN – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng baru-baru ini menzahirkan sokongan penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam merealisasikan tanggungjawab menjaga keamanan dan menjalankan tugas.

Berucap pada Majlis Perasmian Naik Taraf Balai Polis Butterworth baru-baru ini, Guan Eng yang juga Menteri Kewangan turut berharap pihak berkuasa berkenaan dapat jalankan tugas mengikut lunas undang-undang.

“Sebagai kerajaan baharu, kita (Kerajaan Persekutuan) bukan sahaja mahu menyokong pasukan keselamatan dalam menjalankan tugas, tetapi badan-badan ini perlulah ada kemudahan dan kelengkapan supaya dapat menjalankan tugas dengan baik.

“Di sini, ingin saya tegaskan bahawa, dalam mesyuarat… kabinet telah tegaskan dan akan menitikberatkan sokongan penuh kepada pihak PDRM.

Lim Guan Eng bergambar bersama angota PDRM Butterworth pada majlis menaik taraf balai berkenaan baru-baru ini.

“Justeru, kita akan berusaha untuk membantu pihak polis menjalankan tugas mereka dan menyediakan kemudahan infrastruktur dengan lebih baik. Program pemulihan dan penambahbaikan semula mesti dijalankan,” ujarnya pada majlis berkaitan baru-baru ini.

Hadir sama Exco Belia dan Sukan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee dan Satees Muniandy (ADUN Bagan Dalam).

Difahamkan, balai berkenaan yang telah berusia 49 tahun itu akan dimulakan dengan penaiktarafan kaunter aduan dan seterusnya pembinaan kawasan meletak kereta.

Guan Eng yang juga ADUN Air Putih turut mengumumkan pembinaan sebuah kantin di kawasan berkenaan sekiranya mempunyai tanah tambahan.

“Jika ada tanah tambahan, kantin akan didirikan demi menjaga kebajikan anggota-anggota dan pegawai polis di sini,” ujarnya.

Serentak itu juga, turut dianjurkan Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Dalam.

Oleh/Gambar: YUSNINA MOHAMAD YUSOF