Program Khatan Perdana harap ringankan beban keluarga kurang mampu

AZRUL Mahathir Aziz (berbaju putih) menyiram 100 orang kanak-kanak sebelum dikhatankan baru-baru ini.

BAYAN LEPAS – Seramai 100 kanak-kanak menyertai Program Khatan Perdana 2018 anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas di sini.

Program yang bermula seawal 8 pagi tersebut adalah membabitkan kanak-kanak terpilih daripada keluarga B40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) berkenaan.

Majlis perasmian program yang diadakan pada 1 Disember lalu itu disempurnakan ADUNnya, Azrul Mahathir Aziz di Masjid Makbul, Teluk Kumbar.

“Program Khatan Perdana percuma ini dah lama saya buat iaitu sejak saya menyandang jawatan sebagai Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Bayan Lepas, dan tahun ini ia adalah lebih manis serta bermakna berikutan merupakan tahun pertama saya menganjurkannya sebagai ADUN kawasan.

“Menerusi penganjuran ini. saya harap sedikit-sebanyak mampu meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan kerana kita maklum bahawa harga berkhatan paling minimum pun RM120 hingga mencecah RM250 kini,” ujarnya kepada Buletin Mutiara.

Hadir sama, Pengerusi Masjid Maqbul, Datuk Prof. Idiris Salleh.

Upacara khatan dimulakan dengan perarakan konvoi membawa kanak-kanak menaiki lori mengelilingi kampung sambil diiringi paluan kompang ke perkarangan masjid.

Sejurus tiba, bagi mengurangkan ‘debaran’, para peserta dimandikan menggunakan pancuran pili dari pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba).

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI