Gurney Wharf: Kerajaan Negeri, firma-firma perunding tandatangani perjanjian

Admin

GEORGE TOWN – Pembangunan sebuah pulau buatan berhampiran Persiaran Gurney dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2023.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pada hari ini, barisan perunding bukan kerajaan menandatangani perjanjian dengan Kerajaan Negeri untuk kerja-kerja penyediaan pelan reka bentuk, dokumen serta membuat penilaian tender bagi projek taman tema awam bertaraf antarabangsa seluas 40 ekar yang dikenali sebagai Gurney Wharf.

Menurut beliau, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Azhar Arshad mewakili Kerajaan Negeri dalam majlis tandatangan perjanjian tersebut.

“Kita dapat tanah (seluas 131.09 ekar) ini daripada Tanjung Pinang Development Sdn. Bhd. (TPD) bagi memenuhi syarat dikenakan kepada syarikat berkenaan untuk pelaksanaaan projek Tanjung Pinang Fasa 2.

“TPD dilantik oleh Kerajaan Negeri sebagai pengurus projek untuk membantu kita melaksanakan projek Gurney Wharf, (dan) pada hari ini kita menyaksikan mereka (TPD) telah melantik perunding-perunding bagi komponen-komponen untuk mereka bentuk (berhubung projek pembangunan bercampur) serta sebagainya.

“Saya berharap kesemua firma perunding yang dilantik dapat melaksanakan kerja sebaik mungkin (termasuk) menyiapkan pelan reka bentuk dan penyediaan dokumen untuk proses memanggil tender serta membuat penilaian tender syarikat-syarikat kontraktor yang (membuat bidaan) siap pada pertengahan tahun 2021,” jelasnya pada sidang media di Komtar pada 21 Disember 2020.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo serta Pengurus Besar TPD, Datuk Zawawi Yusop turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee dan Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), S. Bharathi.

Menurut Kon Yeow, sejak tahun 2016, Kerajaan Negeri melalui CMI telah melantik TPD untuk melaksanakan projek penambakan laut berhampiran Persiaran Gurney.

“Sehingga bulan Mei 2020, 90.07 ekar secara berperingkat telah diserahkan oleh TPD kepada Kerajaan Negeri.

“Semua proses serahan tanah tebus guna akan selesai dalam beberapa bulan lagi,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangam Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Difahamkan, Kerajaan Negeri merancang untuk mewujudkan kemudahan awam seperti astaka, laluan awam bagi pejalan kaki (promenade), taman permainan kanak-kanak, ‘skate park’, pesisir pantai buatan manusia, ‘wetland’ dan dermaga teksi air di atas tapak projek Gurney Wharf seluas kira-kira 40 ekar.

Di atas projek tanah tebus guna sama juga, menurut Kon Yeow, turut disediakan rizab jalan raya jika projek terowong bawah dasar laut milik Kerajaan Negeri diteruskan pada masa hadapan.

“Sebahagian tanah (daripada 131.09 ekar tanah tebus guna) yang sama pula, Kerajaan Negeri bercadang untuk digunakan bagi membiayai kos pemajuan tiga jalan raya dalam projek terowong bawah dasar laut pada masa depan,” ulasnya.

Berikut adalah firma perunding yang mendatangani perjanjian dengan Kerajaan Negeri:

(i) GDP Architects Sdn. Bhd. (arkitek termasuk pengurus projek);

(ii) Carnson Design & Grant Associates (arkitek landskap);

(iii) Jurutera TSSC Lim Sdn. Bhd. (jurutera awam & struktur);

(iv) Jurutera Perunding Valdun Sdn. Bhd. (jurutera mekanikal & elektrik);

(v) Ukur Bahan Konsult (juruukur bahan);

(vi) DR Nik & Associates Sdn. Bhd. (jurutera marin pantai & tambakan);

(vii) DR Nik & Associates Sdn. Bhd. (konsultan alam sekitar termasuk auditor alam sekitar).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALVIE CHENG