Guru SAR turut terima bonus raya

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) setengah bulan gaji atau minimum RM600 kepada 10,945 penjawat awam negeri sempena Aidilfitri tahun ini.

Jumlah tersebut, jelas beliau, merangkumi semua penjawat awam di Jabatan-jabatan Negeri, pihak berkuasa tempatan (Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai) dan badan-badan berkanun negeri.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM11.8 juta bagi tujuan itu dan bonus mula dibayar pada 17 Julai lalu.

“Bantuan tersebut turut dinikmati 1,424 guru dan 14 penyelia KAFA, 343 guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan 398 guru dari Sekolah Persendirian Cina dengan jumlah sebanyak RM300 setiap seorang.

“Manakala bagi 141 guru tahfiz, tiga guru Sekolah Pondok dan 50 guru Tadika Islam (TADIS) juga bakal menerima RM200 setiap seorang,’’ ujarnya pada sidang media di sini barubaru ini.