KN perkenal misi galakan pemilikan rumah pertama

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan memperkenalkan misi galakan pemilikan rumah kepada pembeli kali pertama di negeri ini.

Exconya, Jagdeep Singh Deo berkata, program dikenali Misi Pemilikan Rumah adalah sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk menggalakkan orang ramai membeli rumah khususnya kepada pembeli rumah kali pertama.

“Tujuan asal kita (Kerajaan Negeri) adalah untuk menggalakkan pembelian rumah terutamanya oleh golongan muda kerana kebanyakannya tak mampu membeli rumah lantaran harga rumah yang tinggi dan ketiadaan rumah mampu milik,” katanya dalam satu sidang media di sini baru-baru ini.

Menurut Jagdeep, beliau mendapati bahawa ramai penduduk negeri ini tidak tahu dan tidak mempunyai maklumat yang jelas mengenai prosedur pembelian rumah mampu milik.

“Jadi, mulai 16 Ogos nanti, kita (Kerajaan Negeri) akan adakan pameran bergerak ke semua 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang untuk menjelaskan Misi Pemilikan Rumah ini,” ujarnya.

Selain itu, beliau memberitahu, sebagai rekod, sejak Ogos tahun lalu sehingga ke hari ini (3 Julai 2014), Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan (SPEC) telah memproses 7,412 permohonan (melalui Bahagian Perumahan dan e-Rumah) bagi rumah kos rendah (RKR), kos sederhana rendah (RKSR) dan rumah mampu milik (RMM).

“Manakala sejak 2008 hingga bulan Mei 2014, sejumlah 64 projek di lima daerah dengan 12,471 unit rumah kos rendah telah dibina. Sejumlah 7,608 unit rumah kos sederhana rendah telah dibina melalui 28 projek di Pulau Pinang.

“Dalam tempoh sama, sejumlah 23 projek telah diluluskan di kelima-lima daerah dengan 3,796 unit rumah kos rendah dan 5,246 unit rumah kos sederhana rendah lagi (melalui 9 projek) akan dibina,’’ jelas beliau.

Tambah Jagdeep, Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan kategori perumahan baharu iaitu rumah mampu milik pada kadar bawah RM200,000, bawah RM300,000 dan bawah RM400,000.

“Dengan kerjasama PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang), Kerajaan Negeri kini telah mengenalpasti 10 lokasi
sesuai untuk membangunkan kira-kira 20,000 unit rumah mampu milik lagi menjelang tahun 2018 di Pulau Pinang,” katanya.

“Selain usahasama Kerajaan Negeri dan PDC, pemaju swasta juga dilihat berminat untuk membangunkan rumah mampu milik di Pulau Pinang.

“Sehingga ke hari ini, sekurang-kurangnya 10,000 unit rumah mampu milik telah dibina pemaju swasta di Pulau Pinang,” ujar beliau.