PERAI – Semua guru Tabika Perpaduan di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional perlu memainkan peranan sebagai ejen perpaduan masyarakat di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid.
Beliau berkata, tanggungjawab guru Tabika Perpaduan bukan sahaja menyampaikan ilmu asas seperti membaca, menulis dan mengira, malah memikul amanah untuk menanam benih kasih sayang, hormat-menghormati, toleransi serta semangat kebersamaan yang menjadi asas kepada perpaduan nasional.
“Pendidikan awal kanak-kanak merupakan teras pembentukan insan dan di sinilah Tabika Perpaduan memainkan peranan yang amat strategik.
“Selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, pendidikan di negara kita bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani serta mampu menyumbang kepada kesejahteraan diri, masyarakat dan negara.
“Di sinilah guru-guru Tabika Perpaduan memikul amanah yang besar iaitu untuk membentuk nilai, sikap, adab, serta jati diri kanak-kanak sejak usia awal lagi,” katanya ketika berucap pada Program Memartabatkan Profesion Perguruan Tabika Perpaduan Peringkat Negeri Pulau Pinang dekat sini sebentar tadi.



Mohamad berkata, keunikan Tabika Perpaduan adalah terletak pada kepelbagaian latar belakang kaum, budaya dan agama yang berada di bawah satu bumbung pendidikan.
Menurutnya, melalui aktiviti pembelajaran, permainan, nyanyian, penceritaan dan interaksi harian yang diterima kanak-kanak di institusi pendidikan itu dapat menyemai nilai perpaduan secara semula jadi.
“Di sinilah anak-anak belajar mengenali
perbezaan, menghormati kepelbagaian dan membina persahabatan tanpa prejudis.
“Oleh itu, guru-guru Tabika Perpaduan secara tidak langsung menjadi ejen perpaduan yang paling awal dan paling berpengaruh dalam kehidupan seorang kanak-kanak.
“Perpaduan bukan sesuatu yang boleh diajar melalui teori semata-mata, tetapi dibentuk melalui pengalaman dan teladan.
“Guru-guru adalah contoh hidup kepada anak-anak seperti dalam tutur kata, tingkah laku, kesabaran dan keadilan kerana mereka akan belajar daripada apa yang lihat dan alami di Tadikan Perpaduan,” ujarnya.
Mohamad yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat berkata sehingga kini terdapat sebanyak 1,781 buah Tabika Perpaduan di seluruh negara dan sebanyak 116 buah Tabika Perpaduan di Pulau Pinang dengan seramai 232 orang guru.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Mohamad menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) kini menawarkan program diploma pendidikan awal kanak-kanak.
“Kita (Kerajaan Negeri) akan berbincang dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional berhubung inisiatif untuk meningkatkan profesion perguruan dalam konteks guru Tabika Perpaduan dengan menyambung pendidikan awal kanak-kanak..
“Selain itu, program-program yang perlu dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasion dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah dimulakan pada tahun lepas melibatkan lima daerah di negeri ini.
“Pada tahun 2026, kita akan turun ke setiap daerah untuk menghimpunkan semua guru Tabika Perpaduan dan kakitangan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional bagi menganjurkan program perpaduan,” katanya yang juga Yang Dipertua MAINPP.
Terdahulu, Mohamad turut menyampaikan sijil penghargaan kepada guru-guru Tabika Perpaduan yang berjaya merangkul tujuh anugerah yang dipertandingkan.
Anugerah Khas Media dimenangi oleh Nurul Huda Abdul Aziz, Anugerah Guru Prihatin pula menjadi milik Nor Fazlin Tajuddin, diikuti Anugerah Guru Paling Kreatif (M. Thanam), Anugerah Personaliti Guru Ternggul dan Anugerah Guru Paling Popular (Zunita Said), Anugerah Pendidik Cemerlang (Naemah Ramli) serta Anugerah Guru Cemerlang (Siti Jaslina Jalil).
Pada majlis tersebut, seramai 280 guru Tabika Perpaduan di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Pulau Pinang diberikan pendedahan berkenaan usaha-usaha memartabatkan profesion perguruan dalam konteks pendidikan awal kanak-kanak.
Sementara itu, Buletin Mutiara turut berkesempatan menemu bual beberapa penerima anuegrah untuk mendapatkan reaksi atas kejayaan masing-masing.
ZUNITA SAID ketika ditemui menzahirkan penghargaan kepada pihak-pihak berkaitan atas penganugerahan yang diterima selepas menceburi bidang pendidikan selama 30 tahun.
“Apa yang dikatakan oleh TKMI (Dr. Mohamad Abdul Hamid) amat tepat yang mana anak-anak yang mempunyai rasa tanggungjawab dan keikhlasan tanpa mengira bangsa serta agama lahir daripada didikan seorang guru.
“Itulah pentingnya peranan guru Tabika Perpaduan untuk mendidik dan melahirkan masyarakat yang mempunyai semangat perpaduan yang sangat utuh.
“Ini kerana perpaduan sangat penting dalam konteks negara kita yang mempunyai masyarakat dengan latar belakang kaum, dan agama yang berbeza,” katanya yang bertugas di Tabika Perpaduan Taman Bagan dalam Daerah Seberang Perai Utara (SPU).
Zunita berkata bahasa merupakan cabaran utama yang dihadapi oleh guru Tabika Perpaduan kerana para pelajar terdiri daripada pelbagai kaum termasuk etnik di Sabah dan Sarawak yang mempunyai masalah untuk berinteraksi dalam bahasa Melayu.
“Bagi saya sendiri, saya mengajar pelajar yang terdiri daripada pelbagai etnik termasuk Kadazan, Iban dan Bidayuh, jadi saya terpaksa mempelajari pelbagai bahasa untuk lebih mendekati mereka dan menyampaikan apa itu perpaduan seawal umur empat tahun lagi.
“Saya yakin pada suatu hari anak-anak yang dididik sejak awal usia bakal menjadi pemimpin yang baik untuk memimpin negara kita kelak,” katanya
Sementara itu, SITI JASLINA JALIL pula menyifatkan anugerah yang diterima sebagai penghargaan tertinggi sejak 25 tahun berkhidmat dalam bidang pendidikan.
“Sebagai pendidik, amanah yang diberikan adalah sangat besar untuk melahirkan generasi muda yang berkualiti melalui pendidikan sejak usia empat hingga enam tahun.
“Tambahan pula, kami merupakan ejen perpaduan jadi setiap amanah yang diberikan akan cuba dilaksanakan dengan sebaik mungkin demi mencapai matlamat perpaduan negara.
“Harapan saya, bagi generasi muda yang baru dilantik perlu meneroka dan memahami nilai-nilai serta kefahaman mendalam mengenai perpaduan negara,” katanya yang bertugas di Tabika Perpaduan Wisma Persekutuan SPU.
Nada sama diucapkan oleh M. Thanam selepas dinobatkan sebagai penerima Anugerah Guru Paling Kreatif.
Beliau yang telah berkhidmat selama 32 tahun dalam bidang pendidikan berkata anugerah yang diterima adalah sesuatu yang tidak dijangka memandangkan persaingan adalah dalam kalangan guru yang berpengalaman.
“Setakat ini banyak anugerah yang saya pernah terima tetapi anugerah hari ini sangat berharga kerana calon semuanya hebat,” katanya yang berkhidmat di Tabika Perpaduan Seri Nibong dalam Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).
Dalam menyambut seruan Dr. Mohamad mengenai perpaduan, Thamam berkata Tabika Perpaduan merupakan ejen perpaduan yang penting dalam mendidik generasi muda sejak dari awal usia.
“Dari kecil kami mendidik mereka tentang perpaduan dan mereka akan membawa nilai-nilai ini sehingga dewasa.
“Pada masa sama, kami juga berdepan cabaran kerana pelajar datang daripada pelbagai latar belakang dan sebagai guru tabika kita perlu lihat persekitaran dalam usaha mendidik mereka,” katanya sambil menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Pulah Pinang (JKNPP) atas sokongan yang diberikan.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS