Had umur mohon pinjaman TUT dinaikkan kepada 60 tahun.

Admin
PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri pada Mac lalu telah bersetuju menambahbaik syarat pinjaman Tabung Usahawan Tani (TUT) Negeri Pulau Pinang dengan menaikkan had umur pemohon kepada 60 tahun.
Perkara tersebut dimaklumkan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin ketika Majlis Penyampaian Cek TUT Kali Ke-9 di Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), baru-baru ini.
Afif berkata, rombakan syarat dan penambahbaikan tersebut adalah salah satu usaha Kerajaan Negeri untuk memberikan bantuan kepada usahawan-usahawan di Pulau Pinang agar dapat meningkatkan produktiviti dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan.
“Bagi pemohon yang berumur 40 tahun ke bawah jumlah pinjaman bernilai RM6,000.
“Manakala, peminjam yang berumur atas 40 tahun sehingga 60 tahun jumlah pinjaman adalah RM5,000.
“Kita (Kerajaan Negeri) telah memperuntukkan RM250,000 setahun untuk tabung ini bagi memberikan galakan kepada para pengusaha untuk menjadikan sektor industri asas tani sebagai kerjaya.
“Kerajaan Negeri juga dalam usaha untuk meningkatkan bantuan pinjaman daripada RM5,000 kepada RM10,000, RM15,000 dan RM20,000,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya sambil memberitahu bahawa TUT dahulunya dikenali sebagai Tabung Usahawan Tani Muda (TUTM) yang telah dijenamakan semula ekoran rombakan syarat berkaitan.
Hadir sama ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik, Muhammad Yusoff Mohd. Noor (ADUN Sungai Dua yang juga merupakan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri, DUN Pulau Pinang), Jeffrey Chew (Timbalan Pengurus Besar 2 PDC) dan Rodzaidi Abdul Rahman (Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang).
Pada majlis tersebut, seramai 18 usahawan menerima cek pinjaman masing-masing menjadikan jumlah keseluruhan penerima TUT sehingga kini berjumlah 110 penerima.
Menurut Afif, Kerajaan Negeri telah menyalurkan sebanyak RM582,000 kepada penerima TUT dan pinjaman berkaitan masih berbaki RM168,000 daripada jumlah keseluruhan RM750,000.
Katanya, jumlah penerima (usahawan) masih belum mencapai sasaran.
“Duit tabung ini masih berbaki, jangan persia-siakan peluang ini… war-warkan kepada usahawan-usahawan lain agar mereka sama-sama mendapat manfaat dapat pinjaman yang kita sediakan ini.
“Diharap lebih ramai pemohon akan tampil untuk Kerajaan Negeri bantu usahawan pertanian, penternakan dan perikanan mengembangkan perusahaan mereka,” ujarnya.