SHAH ALAM, SELANGOR— Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada petang tadi mengadakan lawatan khas ke Bilik Operasi Sekretariat Kontinjen Pulau Pinang, sebelum menyertai kemuncak Majlis Perasmian Pembukaan Sukan Malaysia (SUKMA) XXII & Para SUKMA Selangor 2026 yang berlangsung meriah di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dekat sini.
Kehadiran beliau umumnya menyuntik semangat dan moral kepada Chef de Mission Kontinjen Negeri, Joseph Ng Soon Siang serta sekalian pemimpin kontinjen negeri.
Lebih bermakna, kehadiran Kon Yeow disambut dengan perkhabaran gembira apabila Pulau Pinang berjaya meraih pingat emas pertama kejohanan melalui atlet judo negeri, Qaleeda Izz’Dika.

Dalam sidang media bersama-sama Kon Yeow, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen meluahkan rasa syukur dan gembira atas persediaan serta perjalanan kontinjen negeri yang berada pada landasan terbaik, setakat pencapaian pada petang tadi.
“Semua berjalan lancar dan on track hari ini.
“Kita amat gembira kerana pingat emas pertama telah sampai untuk kontinjen Pulau Pinang,” ujarnya kepada Buletin Mutiara di sini pada 15 Ogos 2026.
Tambah Zi Sen, kejayaan pingat emas sulung tersebut hadir sebagai satu kejutan manis memandangkan pemenang berkenaan bukan sasaran awal pingat emas bagi kontinjen Pulau Pinang.
Lebih membanggakan, menurut beliau, kejuaraan itu diraih oleh seorang atlet muda berbakat besar yang baru berusia 16 tahun.
“Pemenang pingat emas tersebut bukan sasaran asal kami, dan ini merupakan satu detik yang amat membanggakan.
“Atlet ini baru berusia 16 tahun, jadi perjalanannya masih jauh dan banyak lagi edisi SUKMA yang boleh disertai pada masa akan datang,” ujarnya sambil mengesahkan bahawa wira muda tersebut merupakan anak tempatan dari Tanjung Tokong.
Turut serta lawatan Kon Yeow ke Sekretariat Kontinjen Pulau Pinang ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Jafri Abdul Jalil; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng dan beberapa pemimpin negeri lain.
Mereka disambut oleh Soon Siang dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua.
Seusai sesi lawatan dan sidang media di sekretariat kontinjen, Kon Yeow berserta delegasi pemimpin negeri berkenaan terus menyertai kehangatan Majlis Perasmian Pembukaan SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.
Acara berprestij peringkat nasional tersebut diserikan lagi dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor bagi merasmikan kejohanan, disusuli upacara menaikkan bendera, ikrar kejohanan, perarakan kontinjen negeri, serta penyalaan obor SUKMA Selangor 2026.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD