SHAH ALAM, SELANGOR — Skuad judo Pulau Pinang mencetuskan sensasi pada hari kedua Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 apabila atlet bukan prospek, Qaleeda Izz’Dika, mencipta kejutan dengan menyumbang pingat emas sulung buat kontinjen negeri.
Atlet berusia 16 tahun berkenaan mempamerkan aksi bertenaga dalam perlawanan akhir kategori bawah 52 kilogram (kg) wanita sebelum mengesahkan kejuaraan menerusi kemenangan mutlak Ippon ke atas wakil Terengganu, Fatin Alia.
Kemenangan pantas itu sekali gus meletakkan anak jati Tanjung Tokong berkenaan di podium tertinggi, selain menyuntik semangat baharu buat kem Pulau Pinang bagi memburu baki 59 pingat emas keseluruhan pada kejohanan sukan dwitahunan peringkat nasional itu.
Kejayaan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Union yang menceburi sukan judo sejak usia lapan tahun itu disifatkan cukup bermakna.
Selepas acara Kata yang menyaksikan beliau meraih emas pada edisi lalu tidak dipertandingkan kali ini, Qaleeda menunjukkan ketahanan mental tinggi apabila beralih ke kategori bawah 52kg dan terus membuktikan kewibawaannya di pentas persaingan.
Secara keseluruhan, skuad judo Pulau Pinang mencatatkan permulaan cemerlang apabila mengumpul satu pingat emas dan dua pingat gangsa setakat petang tadi.


Dua pingat gangsa tersebut masing-masing disumbangkan oleh Delwina Cheah menerusi kategori bawah 57kg wanita dan Chen Ze Yu bagi kategori bawah 73kg lelaki.
Naib Presiden Persatuan Judo Pulau Pinang, Justin Kho, meluahkan rasa bangga atas pencapaian luar jangka itu, terutamanya apabila 70 peratus daripada barisan atlet kali ini terdiri daripada muka baharu berusia antara 15 hingga 16 tahun.
Ditanya lanjut, beliau berkata bahawa pihaknya optimis dengan kemampuan skuad negeri untuk merealisasikan sasaran asal dua pingat emas menerusi saingan esok, dengan sandaran utama bakal digalas oleh atlet kebangsaan, Ivan Ong.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD