Hapus stigma, bantu kekang kemiskinan haid dalam masyarakat – Hooi Peng

Admin

GEORGE TOWN – Kemiskinan haid atau ‘period poverty’ merupakan isu yang jarang sekali diperkatakan secara terbuka oleh masyarakat di Malaysia kerana  mempunyai stigma negatif yang masih menebal.

 

Malah, sehingga kini tiada data berhubung masalah kemiskinan haid dilaporkan secara empirikal dan konkrit di Malaysia sedangkan isu ini bukanlah isu ‘one-off’ sebaliknya ia adalah isu yang berterusan dan berulang-ulang.

 

Menurut CONNIE TAN HOOI PENG, masyarakat perlu mengambil tahu dan cakna terhadap isu berkaitan kemiskinan haid dalam kalangan individu perempuan, tidak kira sama di bandar mahupun di luar bandar kerana ia merupakan isu sosial yang perlu ditangani.

 

“Pada masa ini, tiada data berhubung isu kemiskinan haid dilaporkan di Malaysia, namun, berdasarkan satu kaji selidik yang dilakukan oleh WASH United; Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) dan UNICEF (Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) melaporkan bahawa sebanyak  47 peratus individu yang mengalami haid sukar mendapatkan bekalan menstruasi terutama sejak pandemik COVID-19 melanda.

 

“Mungkin isu kemiskinan haid ini tidak dapat difahami bahkan menjadi bahan ketawa kepada segelintir pihak disebabkan stigma dan persepsi umum yang negatif tentang haid.

 

“Oleh itu, saya mengambil inisiatif memperkenalkan Program Kemiskinan Haid atau Period Poverty Program untuk memberi kesedaran kepada umum berhubung isu ini dan dalam masa sama menghentikan kemiskinan haid serta menghapus stigma negatif dalam kalangan masyarakat,” ujarnya ketika ditemu ramah secara panggilan video pada 18 Ogos 2021.

 

ANTARA rangkaian jenama tuala wanita yang terdapat di pasaran di negara ini.

 

Mengulas lanjut mengenai program komuniti yang turut mendapat kerjasama daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit itu, Hooi Peng memaklumkan bahawa beliau turut berhasrat mewujudkan persekitaran yang mesra menstruasi.

 

“Saya ingin mengetengahkan aspek kesedaran dan mahu masyarakat di sekeliling bercakap mengenai isu kemiskinan haid ini agar individu berkaitan tidak lagi malu dan takut untuk membicarakannya.

 

“(Hal ini demikian) kerana terdapat pelajar perempuan atau mereka yang bekerja tidak dapat hadir kerana mengalami haid dan kesannya akan mengganggu kemajuan serta produktiviti jika tidak ditangani sebaiknya. 

 

“Maka, amat penting untuk memberi kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat supaya stigma negatif dapat dihapuskan dan mengekang kemiskinan haid yang berlaku kini,” jelasnya yang juga merupakan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

 

PROGRAM Kemiskinan Haid yang diilhamkan oleh Connie Tan Hooi Peng. 

 

Difahamkan, melalui program yang mendapat tajaan syarikat pengeluar tuala wanita serta orang-perseorangan ini, pihaknya menyediakan kit barangan keperluan wanita yang boleh dimohon melalui pautan Google Form berikut, https://forms.gle/LjNANDX2mWHXjwJL8 atau melalui Facebook di https://m.facebook.com/ConnieTHP/ .

 

Antara barangan yang terdapat di dalam kit tersebut adalah tuala wanita, syampu, gel mandian atau sabun, kit penjagaan mulut, Panadol Menstrual dan pencukur wanita.

 

Dalam temu ramah itu juga, Hooi Peng juga mengambil sikap terbuka dengan mengalu-alukan mana-mana pihak mahupun badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu bekerjasama atau memulakan program berkaitan kemiskinan haid ini.

 

“Ada dalam kalangan ADUN yang telah menunjukkan minat untuk melaksanakan program seumpama ini pada peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) masing-masing.

 

BARANGAN yang terdapat dalam kit barangan keperluan wanita Program Kemiskinan Haid. 

 

“(Dan) ini merupakan suatu inisiatif yang baik serta prihatin terhadap isu berkaitan wanita.

 

“Tambahan pula, ketika pandemik COVID-19 ini, saya yakin ada segelintir masyarakat yang menghadapi cabaran dan tidak dapat membeli barangan penjagaan wanita termasuk tuala wanita. 

 

“Jadi, saya harap bukan sahaja bantuan makanan diberikan tetapi juga produk penjagaan wanita,” katanya yang telah membantu 92 wanita melalui Program Kemiskinan Haid ini.

 

Sebagai makluman, kemiskinan haid merujuk situasi apabila seseorang individu perempuan tidak mampu memiliki atau mempunyai akses terhadap produk kebersihan wanita disebabkan oleh kekangan kewangan, pendidikan pengurusan haid dan lain-lain faktor persekitaran. Situasi ini boleh menyebabkan individu berkaitan terdedah dengan jangkitan atau masalah kesihatan lain yang boleh mempengaruhi mental secara negatif.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CONNIE TAN HOOI PENG & DARWINA MOHD. DAUD