Harap dapat teruskan ‘komunikasi’ dengan JKPTG

Admin
KETUA Menteri (kanan) menerima kunjungan hormat Hakmal Effendi Ishak di pejabatnya dekat Komtar pada awal pagi tadi.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada pagi ini menerima kunjungan hormat Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian (JKPTG) Pulau Pinang, Hakmal Effendi Ishak di pejabatnya dekat Komtar.

Turut serta, Penolong Pengarah JKPTG Pulau Pinang, Mohd. Syukri Mokhtar.

KETUA Menteri (kanan) saling berbincang beberapa isu berbangkit dengan Hakmal Effendi Ishak (tengah) dan Mohd. Syukri Mokhtar (kiri) tadi. 

Tumpuan perbincangan adalah mengenai cadangan peringkat pengambilan balik tanah yang sedang diusahakan pada peringkat jabatan berkenaan di negeri ini.

HAKMAL Effendi Ishak

“Pada peringkat JKPTG Persekutuan di Pulau Pinang, saya berharap kita boleh menyelesaikan beberapa isu berbangkit ini,” jelas Hakmal Effendi sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow kerana meluangkan masa untuk perbincangan isu-isu berkaitan.

Dalam reaksi balas, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyifatkan bahawa tanggungjawab serta peranan JKPTG Persekutuan di Pulau Pinang adalah begitu mencabar terutama dalam urusan pengambilan balik tanah persendirian untuk satu-satu projek awam.

“Ini (tanggungjawab dan peranan) JKPTG adalah kerja yang begitu mencabar, boleh jadi mengambil masa sehingga 10 tahun jika melibatkan proses pengambilan balik tanah tertentu.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya juga berharap komunikasi dengan pihak JKPTG dapat diteruskan pada masa hadapan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING