Gembira ZPP ‘tambah’ saguhati hari raya

Admin
MOHD. Roszi Saad turut berterima kasih kepada individu yang menunjukkan ‘jalan’ bagi mendapatkan bantuan berwajib daripada ZPP.

TERHARU dan gembira. Itu, antara luahan rasa Mohd. Roszi Saad, 53, selepas menerima sumbangan Saguhati Hari Raya anjuran Zakat Pulau Pinang (ZPP) di Masjid Ibadur Rahman, Bertam di sini pada 21 Mac 2022.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dengan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali sendiri menyerahkan sumbangan berupa sejumlah wang tunai dan barang-barang bantuan makanan asas kepada Mohd. Roszi serta 33 penerima terpilih lain dalam kalangan asnaf fakir dan miskin.

IR. Ahmar Zakiyuddin Abdul Rahman (kiri) menyampaikan sumbangan Saguhati Hari Raya ZPP kepada Mohd. Roszi Saad di sini semalam.

Kata Mohd. Roszi lagi, ini merupakan pertama kali keluarganya menerima saguhati hari raya daripada ZPP.

“Pertamanya, saya merafakkan syukur kepada Allah dan terima kasih kepada individu yang menunjukkan ‘jalan’ untuk keluarga saya mendapatkan bantuan saguhati (hari raya) daripada ZPP ini.

“Terima kasih kepada pemimpin umat Islam di negeri ini terutama Dato’ Ahmad Zakiyuddin dan ZPP sendiri atas usaha menambahkan jumlah bantuan tunai sempena bulan mulia ini (Ramadan).

“Saya adalah pesakit buah pinggang, sudah tiga tahun…ada tiga anak yang masih di bangku sekolah lagi, dengan bantuan kali pertama ini, dapat membantu kami mencukupkan perkara yang diperlukan keluarga,” jelasnya dalam nada sebak kepada wartawan Buletin Mutiara, Zainulfaqar Yaacob.

Sebelum pada itu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dalam ucapannya memberitahu bahawa ZPP sejak 18 April lepas mula menyalurkan sagu hati hari raya secara berperingkat di kelima-lima daera mengikut prosedur operasi standard (SOP) berwajib.

“Pada kali ini (2022), (saguhati hari raya) adalah sebanyak RM5,693,400 yang melibatkan 9,366 orang dalam kalangan asnaf fakir dan miskin.

“Saya sangat menghargai kerjasama daripada pihak kariah masjid yang berperanan mengenal pasti asnaf fakir dan miskin di kariah masing-masing.

“Kerjasama yang erat ini sekali gus mencerminkan peranan institusi Islam di Pulau Pinang berganding bahu bagi menjaga kemaslahatan masyarakat di negeri ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

ACARA berkaitan di Masjid Ibadur Rahman, Bertam semalam.

Difahamkan, Asnaf Fakir merujuk kepada seseorang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan atau menerima pendapatan dari sumber-sumber lain yang jumlahnya tidak sampai 50 peratus daripada keperluan harian dan keperluan tanggungannya dan tidak sampai 50 peratus daripada belanja hidup seseorang yang hidup sederhana dan orang-orang tanggungan (keluarga).

Manakala, asnaf miskin pula merujuk kepada seseorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asasinya tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian dan juga menampung orang-orang tanggungannya (keluarga).

“Kalau dahulu, golongan fakir diberikan bantuan (wang tunai) sempena hari raya Aidilfitri sebanyak RM600 bagi setiap keluarga mereka, kini tahun ini (2022) dinaikkan kepada RM700.

“Begitu juga kepada golongan miskin, kalau dahulu kita (ZPP) beri sumbangan saguhati hari raya sebanyak RM450 setiap orang atau untuk satu keluarga mereka, pada tahun ini kita naikkan kepada RM600.

“ZPP boleh ‘tambah’ agihan zakat kepada asnaf fakir dan miskin disebabkan hasil kutipan zakat fitrah dan zakat harta kita sebelum ini ada pertambahan,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti sambil merakamkan penghargaan kepada seluruh umat Islam kerana terus meletakkan keparcayaan kepada MAINPP dan ZPP.

AMRAN Hazali (kiri) bersama-sama Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dalam sidang media berkaitan di sini semalam.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Amran memberitahu bahawa ZPP bagi tahun 2021 berjaya memungut sebanyak RM147.2 juta yang menyamai peningkatan sebanyak 12.55 peratus berbanding tahun sebelumnya (RM130.8 juta)

“Kerana berlaku peningkatan jumlah kutipan zakat yang begitu signifikan pada tahun 2021, maka kita (ZPP) kembalikan lah zakat yang berjaya dikutip ini kepada golongan yang memerlukan supaya mereka juga boleh menyambut hari lebaran (Aidilfitri) ini dengan senyuman dan kegembiraan sebagaimana mereka yang lain,” jelasnya.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Amran memberitahu bahawa pada tahun ini, pihaknya menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM6.5 juta dan RM155 juta zakat harta.