Harap IWK selesai segera limpahan air kumbahan

Teks & Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD

BUKIT MERTAJAM – Satu lawatan kerja membabitkan wakil Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) diadakan bagi memantau aduan penduduk Taman Jaya di sini berhubung isu limpahan air kumbahan ke dalam parit perimeter baru-baru ini.

Pembantu Khas Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Bernard Cheen Goon Hooi memberitahu, isu tersebut berlarutan sejak empat tahun lalu walaupun pihak Indah Water Konsortium (IWK) telah beberapa kali menjalankan siasatan dan kerja pembaikian di lokasi berkaitan.

“Walaupun telah dua kali kerja pembaikian dijalankan IWK sejak Oktober tahun ini, namun masalah bau busuk masih tidak dapat diselesaikan.

“Saya amat berharap agar IWK dapat mengenalpasti punca kejadian dan menyelesaikannya dengan segera demi kepentingan penduduk di kawasan ini,” katanya pada sesi lawatan di sini baru-baru ini.

Tambah Goon Hooi, masalah yang berlaku secara tidak langsung menjejaskan kesihatan penduduk yang terpaksa berdepan dengan masalah bau busuk.

“Masalah ini menjadi lebih teruk apabila hujan melanda kerana air sisa kumbahan akan melimpah dan menghasilkan bau busuk,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Ahli Majlis MPSP, Chong Pei Pei turut meminta kerjasama penduduk untuk mengosongkan laluan belakang rumah masing-masing bagi membolehkan lori IWK melalui kawasan itu.

“Pihak IWK turut mengadu lori mereka tidak boleh melalui lorong belakang rumah penduduk untuk tujuan mencuci paip pembentung yang bermasalah.

“Diharapkan penduduk dapat memberikan kerjasama supaya masalah ini dapat diselesaikan segera. Pada masa sama, MPSP akan mengeluarkan notis kepada penduduk sebelum tindakan diambil untuk mengosongkan lorong belakang rumah masing-masing,” ujar Pei Pei.