Tandas Pasar Awam Air Itam wakil negeri

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN LILIAN

 

AIR ITAM – Rutin mencuci dan memantau kebersihan Tandas Pasar Awam Air Itam pada setiap 30 minit merupakan rahsia dan faktor utama ia sekali lagi memenangi Anugerah Tandas Bersih 2014 Peringkat Negeri Pulau Pinang bagi Kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sini baru-baru ini.

Kemenangan tersebut merupakan tahun ketiga ia menerima pengiktirafan berkaitan.

Malah, pada tahun 2012, Tandas Pasar Awam Air Itam turut memenangi tempat pertama Kategori Tandas Awam Terbaik Bagi Bahagian Pulau, Tandas Paling Bersih Peringkat Negeri Pulau Pinang (Naib Johan, 2012) dan Tandas Terbaik Peringkat Kebangsaan (Ketiga, 2013).

Menurut salah seorang kakitangan Majlis Perbadaran Pulau Pinang (MPPP) yang diamanahkan berhubung kerja-kerja pembersihan Tandas Pasar Awam Air Itam, Shukor Hashim, 44, tanggungjawab beliau bersama-sama 11 rakan sekerja lain adalah bermula seawal 6.30 pagi hingga 12 tengah malam mengikut syif kerja masing-masing.

“Penjagaan tandas ini pastinya mencabar kerana selain dibuka awal, ia juga terletak di lokasi pelancongan utama negeri. Jadi, kami akan cuci atau pantau keadaan tandas pada setiap 30 minit.

“Bila kita kerap pantau dan bersihkan, ianya tidak menjadi beban berbanding membiarkan tandas untuk suatu tempoh masa lama dan baru mulakan proses pembersihan,’’ ujarnya yang berasal dari Kampung Melayu Air Itam kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Hasil tinjauan mendapati, selain berbau harum, Tandas Pasar Awam Air Itam adalah selesa dan turut dihiasi dengan pelbagai tanaman pokok bagi mewujudkan suasana ceria kepada para pengguna.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Air Itam, Wong Hon Wai berkata, kemenangan tersebut adalah amat bermakna.

“Ini bermakna tandas kami berjaya mengalahkan lebih daripada 100 tandas milik PBT termasuk di bawah seliaan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang turut mengambil bahagian.”

“Sebenarnya, saya masih terkejut kerana terdapat banyak tandas baru dibina dan faktor ini semestinya menyukarkan Tandas Pasar Awam Air Itam yang berusia empat tahun untuk meraih anugerah. Namun, atas kerja keras pekerja-pekerja Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), kita berjaya!

“Kemenangan ini bakal membolehkan Tandas Pasar Awam Air Itam sekali lagi mewakili Pulau Pinang ke peringkat kebangsaan bagi kategori sama,” ujanya di sini.