Harap JPWK akan jadi ‘kolam bakat’ untuk Pulau Pinang – Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri (empat dari kiri) diiringi Chong Eng (dua dari kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada salah seorang penerima dalam majlis berkaitan di sini pada petang tadi.

SEBERANG JAYA – Tidak mustahil Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Pulau Pinang yang terus diperkasakan sehingga kini mampu menjadi ‘kolam bakat’ atau ‘telant pool’ bagi mengimbangi proses pembuat keputusan peringkat negeri pada masa hadapan.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, pihaknya juga berharap mereka yang menganggotai JPWK hari ini diharap dapat mengisi kelompok pembuat dasar termasuk sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri Pulau Pinang pada masa hadapan.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyampaikan amanat itu dalam Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan JPWK Pulau Pinang di sini pada 27 Februari 2022.

“Berdasarkan situasi perkembangan semasa, perkara ini adalah tidak mustahil berlaku.

“Teruskan usaha anda bagi mencapai hasrat Pulau Pinang bagi membina ‘Telant Pool’ agar keseimbangan pembuat keputusan dalam negeri dapat dicapai,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Turut berucap, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng yang juga ADUN Padang Lalang.

Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng antara pemimpin negeri yang menyertai acara tersebut.

Difahamkan, seramai 567 ahli jawatankuasa JPWK yang menerima watikah pelantikan masing-masing pada petang ini adalah bagi sesi kepimpinan berkuat kuasa 27 Februari 2022 hingga Disember 2023.

Pelantikan JPWK kali ini adalah melibatkan kesemua 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : CHAN KOK KUAN