Harap Kuala Juru dapat dimaju sebagai destinasi ekopelancongan bagi tambahan nilai, tingkat ekonomi penduduk setempat – Kon Yeow

Admin

BUKIT TENGAH – Lebih 300 peserta terdiri daripada ahli-ahli kelab berbasikal serta komuniti setempat mengambil bahagian dalam penganjuran program kayuhan ria, Jamboree Berbasikal Bukit Juru anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah.

Majlis pelepasan peserta program disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bertempat di hadapan tapak Unit Nelatan Kuala Juru di sini sebentar tadi.

Persembahan seni silat turut dipertontonkan sebelum acara kayuhan bermula.

Kon Yeow dalam ucapannya menyatakan bahawa penganjuran program bertemakan ‘Discover Bukit Juru’ tersebut adalah bertujuan untuk mempromosi kawasan Bukit Juru sebagai destinasi ekopelancongan di negeri ini.

“Kita (Kerajaan Negeri) berharap agar Kuala Juru dapat dimajukan sesuai dengan keadaan alam sekitarnya sebagai destinasi ekopelancongan yang mampu menambah nilai bagi kawasan di sini.

“Sekiranya kita dapat menambah unsur-unsur baru di samping kemudahan-kemudahan sedia ada di kawasan ini seperti memperkenalkan aktiviti riadah, program berbasikal, menaiki bot, memancing dan sebagainya, saya percaya Kuala Juru akan menjadi kawasan pelancongan sekaligus meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

“Sememangnya adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk memperkasakan komuniti setempat dalam meningkatkan ekonomi serta menambahkan pendapatan,” ujarnya pada majlis berkaitan.

Turut berucap sebelum itu, ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung yang menjelaskan bahawa kawasan Bukit Juru, Kuala Juru, Sungai Juru dan Bukit Kecil merupakan tempat yang indah untuk dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan.

“Pembangunan yang dilaksanakan bukan sahaja mampu menarik kehadiran pelancong dari luar negeri malah juga penduduk Seberang Perai untuk datang menikmati alam semula jadi di sini,” katanya.

Hadir sama, Exco Pembangunan Pelancongan dan Warisan, Kebudayaan & Kesenian, Yeoh Soon Hin; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan merangkap ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin; Timbalan Ketua Polis Seberang Perai Tengah (SPT), Supritendan Mohd. Mustafa Bidin; Pengurus Besar Auto City, Gary Teoh Kiang-Hong serta komuniti setempat.

Selain kayuhan ria, program yang dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Think City Sdn. Bhd. serta Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kuala Juru tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan seni silat dan senaman zumba.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD