Penyertaan komuniti, agensi negeri dan Persekutuan sempena kayuhan amal beri manfaat kepada penduduk setempat – Saifudin

Admin
PANTAI JEREJAK -Seiring  dengan usaha bagi meningkatkan pembabitan masyarakat dalam aktiviti menyihatkan, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak kelmarin menganjurkan program kayuhan amal I ❤️ Penang.
Kayuhan tersebut anjuran secara bersama di antara Pusat Khidmat DUN berkenaan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bertempat di perkarangan kawasan Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Bayan Baru, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Dato’ Seri Saifudin Nasution Ismail berkata, menariknya penganjuran julung kali tersebut mendapat penyertaan daripada peringkat komuniti setempat, agensi kerajaan negeri dan Persekutuan yang sekaligus memberikan manfaat kepada penduduk.
“Untuk kali ini, kawasan DUN Pantai Jerejak telah terpilih untuk menerima agihan zakat korporat dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) daripada SSM.
“Bagi agihan zakat, sebanyak 100 orang asnaf, masjid (2) dan surau (15) di kawasan ini terpilih di mana asnaf menerima wang tunai RM300, masjid (RM3,000) dan surau (RM2,000) menjadikan nilai keseluruhan zakat diperuntukkan sebanyak RM66,000.
“Manakala bagi program CSR melibatkan orang bukan Islam sebanyak 100 penerima dengan setiap sorangnya menerima wang tunai RM300 dan  rumah terpilih (10) menerima RM1,000 dan barangan keperluan harian.
“Selain aktiviti teras untuk mendaftarkan syarikat di Malaysia, ini merupakan inisiatif murni SSM untuk membantu golongan yang memerlukan setiap tahun,” ujar Saifudin sambil mengalu-alukan sumbangan zakat dan CSR kepada pengundi di kawasannya baru-baru ini.
Hadir sama Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain dan Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zaharah Abdul Wahab Fenner.
Sebelum itu, program dimulakan dengan kayuhan amal beramai-ramai membabitkan lebih 100 orang peserta.
Kemudiannya, Saifuddin yang juga Menteri KPDNHEP menziarahi beberapa rumah terpilih sekitar kawasan DUNnya bagi menyerahkan bantuan sumbangan.
Menurutnya, selain zakat dan CSR daripada SSM, pihak Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) turut memberikan peruntukan masing-masing.
“ZPP mengagihkan zakat kepada 500 penerima.
“Manakala, PDC memperuntukkan RM250,000 bagi membaiki sistem saliran air di tiga blok Pangsapuri Mahsuri di sini sebaik sahaja pejabat saya menerima aduan mengenai masalah itu” ujarnya.