Harap naik ke Liga Super tanpa ‘orang politik’

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUTTERWORTH – Formula tidak melantik ‘orang politik’ menguruskan persatuan sukan diharap dapat membawa Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) ke Liga Super pada musim depan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian semasa merasmikan Kenduri Sepak Raga Tuju Ke-3 Peringkat Parlimen Bagan anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kampung Baru Seri Bagan di sini.

“Kejuaraan kita (FAP) dalam Liga FAM antara kerana formula kita membebaskan persatuan sukan daripada orang-orang politik.

“Biarlah orang yang benar-benar pakar dan layak dalam arena sukan memimpin persatuan sukan.

“Kita yakin, kalau tidak menjuarai Liga Perdana pada musim ini pun, kita harap boleh masuk Liga Super pada musim akan datang,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan di sini baru-baru ini.

Ucapan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dibaca bekas Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Ahmad Farid Md. Arshad.

Hadir sama, Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Puyu, Phee Boon Poh dan Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti merangkap ADUN Bagan Jermal) serta A. Thanasegaran (ADUN Bagan Dalam).

Dalam perkembangan sama, Guan Eng merakamkan penghargaan atas penganjuran program tahunan tersebut, sejak tahun 2011.

“Sepak Raga Bulatan atau Sepak Raga Tuju sudah wujud di negara ini sejak 600 tahun dahulu, maka, tentulah ia mempunyai nilai tradisi tersendiri, yang boleh menarik pelancong ke negeri ini bersempena Tahun Melawat
Malaysia,” ujar beliau.

FAP pada musim lepas dengan slogan ‘Haria Penang Haria’ telahpun menjuarai Liga FAM, sekaligus, melayakkan skuad Harimau Kumbang itu beraksi dalam Liga Perdana.

FAP mensasarkan kedudukan empat teratas dalam Liga Perdana pada musim ini.