Padam kebakaran hutan mencabar – Farizan

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

KEBUN BUNGA – Seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal serta Jalan Perak terlibat dalam usaha mengawal kebakaran hutan Bukit Bendera yang dilaporkan di sini baru-baru ini.

Malah, ekoran kesukaran mengesan lokasi kebakaran melalui jalan darat, pihak terbabit terpaksa membuat laluan sendiri untuk ke kawasan kejadian.

Selain penyembur galas yang perlu dipikul sepanjang perjalanan tiga kilometer, teknik pengeboman air menggunakan air laut turut diaplikasikan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Azmi Tammat berkata, sebanyak 20 anggota dikerahkan ke lokasi sejurus selepas panggilan diterima berhubung kejadian tersebut.

“Kami dapati terdapat tiga lokasi utama yang mengalami kebakaran dan pada peringkat awal, pasukan terpaksa membuat laluan sendiri memandangkan lokasi kebakaran begitu sukar dikesan melalui jalan darat.

“Ini ditambah dengan kesukaran menggunakan sebarang kenderaan ke lokasi kebakaran yang memaksa para anggota membawa ‘penyembur galas’ ke lokasi sejauh tiga kilometer,” ujarnya beliau pada sidang media di lokasi pemantauan di sini baru-baru ini.

Selain Bukit Bendera, Bukit Gambir dan Bukit FRU turut mengalami kebakaran hutan, namun berjaya dikawal pihak bomba dalam tempoh masa 40 minit pada hari sama.

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Cheah Kar Peng, ADUN Air Itam, Wong Hon Wai dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus.

Tambah Azmi, pihak bomba turut menggunakan sebuah helikopter Unit Udara Bomba (UUB) bagi mengesan lokasi kebakaran sebenar sambil menggunakan asap sebagai panduan ke lokasi.

“Teknik fire breaker dengan menggali lubang berhampiran lokasi kebakaran turut digunakan bagi mengelakkan api merebak menyambar ke kawasan hutan yang lain,’’ jelasnya.

Menurut beliau, punca kebakaran dipercayai disebabkan cuaca panas dan kering sejak akhir-akhir ini selain tidak menolak kemungkinan ia turut disebabkan faktor-faktor lain.

Dalam pada itu, Farizan memberitahu bahawa sebanyak 6,000 liter air laut bagi setiap sesi diperlukan membabitkan teknik pengeboman menggunakan pesawat milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Pesawat ini melakukan sebanyak tujuh pengeboman di empat lokasi berbeza di sekitar kawasan Bukit Bendera.

“Operasi ini dilihat mencabar kerana pengeboman air harus dilakukan dengan cepat iaitu ketika tempoh masa tiada pesawat komersial melalui ruang udara sekitar George Town.

“Malah, kita amat bernasib baik kerana boleh menggunakan sumber air laut yang dekat dengan lokasi kejadian,” jelas beliau.