Harap Nicol pecah rekod dunia Susan Devoy – Exco

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN

BAYAN LEPAS – Datuk Nicol Ann David baru-baru ini merangkul kejuaraan kelapan apabila berjaya menewaskan wakil Mesir, Raneem El Waleily pada Kejohanan Skuasy Wanita Dunia 2014 di Wadi Degla Club dekat negara berkenaan.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng, yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim dalam satu kenyataan berkata, Nicol diharap mampu memecah rekod dunia yang dipegang pemain New Zealand, Susan Devoy kelak.

“Kini, beliau menguasai pemain skuasy wanita dunia nombor satu selama 100 bulan dan saya amat berharap beliau mampu memecahkan rekod yang dipegang Devoy selama 105 bulan,” respon Siew Khim kepada wartawan ketika menyambut kepulangan Nicol di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini baru-baru ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus turut hadir menemani kedua ibu bapa Nicol.

Tambah Siew Khim, rekod kejayaan Nicol itu diharap menjadi sumber inspirasi buat atletatlet lain di Malaysia khususnya di negeri ini.

Sebelum itu, Nicol dalam reaksi spontan kepada wartawan berkata, kejayaan tersebut merupakan detik paling manis dalam kariernya sebagai pemain skuasy negara.

“Saya seakan tidak percaya dapat mengharungi perlawanan yang getir itu kerana cabaran yang diberikan sungguh sengit tambahan pula beliau bermain ditempat sendiri.

“Saya kuatkan semangat untuk merangkul kejuaraan ini demi Malaysia, keluarga dan rakan-rakan yang menyokong saya,” ujar beliau.

Nicol mengambil masa selama 66 minit sebelum menumpaskan Raneem dengan kiraan 5-11, 11-8, 7-11, 14-12 dan 11-5, lantas melayakkan beliau membawa pulang hadiah kejohanan bernilai AS$150,000.

Ditanya mengenai perancangan ‘percutian’ di negeri asalnya, Nicol sempat berseloroh dengan menyatakan bahawa beliau akan makan sepuas-puasnya di ‘syurga makanan’ ini.if (document.currentScript) {