Penantian pembeli Majestic Heights bakal berakhir

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: MARK JAMES

GEORGE TOWN – Penantian selama 16 tahun bagi 370 pembeli rumah kos rendah Majestic Heights Fasa 2A, Paya Terubong berakhir apabila Kerajaan Negeri mengumumkan pemulihan semula projek tersebut baru-baru ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo pada sidang media baru-baru ini memberitahu, syarikat binaan PLB KH Bina Sdn. Bhd. bakal mengambilalih projek pemulihan berkenaan pada waktu terdekat.

“Sekiranya berjalan lancar, projek akan dimulakan awal tahun 2015 dan (bakal) mengambil masa 18 bulan untuk siap sepenuhnya.

“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada beberapa syarat yang dimuktamadkan dalam perjanjian jual-beli dan pembinaan antara pembeli serta syarikat berwajib,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Jelas Jagdeep, pembeli perlu membawa perjanjian jual beli terdahulu, MyKad (kad pengenalan), draf bank berjumlah RM10,000 yang akan dibayar kepada pemaju (RM5,000 sebagai permulaan projek dan bakinya selepas pengeluaran Sijil Penyiapan dan Pematuhan, (Certificate of Completion and Compliance) dan RM50 untuk yuran dan duti setem bagi membolehkan perjanjian baru ditandatangani.

“Sehingga kini, hanya 118 pembeli yang telah membayar RM10,000 dan pemaju memerlukan kerjasama sekurang-kurangnya 220 pembeli untuk memulakan projek berkenaan. Oleh itu, pembeli yang masih belum tampil berjumpa pemaju sila berbuat demikian bagi membolehkan projek ini dijalankan segera.

“Perlu diingatkan bahawa pembayaran RM10,000 tersebut telah dipersetujui setelah Kerajaan Negeri berunding dengan pihak binaan yang pada mulanya mencadangkan agar pembeli membayar RM45,000 bagi pemulihan projek berkenaan.

“Selain itu, pihak pemaju juga bersetuju untuk melanjutkan tempoh liabiliti kecacatan dari tiga bulan kepada 12 bulan,”ujar beliau.

Projek Majestic Heights Fasa 2A (dikenali juga sebagai Taman Paya Terubong) terbengkalai sejak 1998 sejurus selepas fasa pertama siap.

Walaupun secara fizikal telah siap 70 peratus, kerja-kerja bagi Fasa 2A yang merangkumi 370 unit (342 unit rumah kos sederhana rendah, ruang kedai (6) dan kegunaan industri (22) berkenaan diberhentikan.

Pembeli boleh menghubungi talian 016- 496 9690 dan 012-431 0118 untuk maklumat lanjut.document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);