Harap pelaksanaan KAFA Menengah diperluaskan – Ahmad Zakiyuddin

SEBERANG JAYA – Seramai 46 pelajar cemerlang bagi Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) Menengah Pulau Pinang diraikan dalam Majlis Idul Ilmi di sini pada 11 Mac 2023.

 

Majlis yang julung kali diadakan itu merupakan kemuncak pelbagai kegiatan keilmuan sekali gus meraikan kecemerlangan pencapaian pelajar KAFA Menengah di negeri ini.

 

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) berkata, setiap tahun RM1 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program KAFA Menengah ini.

 

Saya berasa kagum dengan pelaksanaan program ini dan berharap dapat diperluaskan ke lain-lain masjid atau surau atau mana-mana lokasi yang belum melaksanakannya.

 

“Walaupun masih baru, pencapaian yang ditunjukkan oleh para pelajar amat memberangsangkan, malah ada cadangan untuk melaksanakan program serupa yang mahu dinamakan sebagai KAFA Atas bagi peringkat institusi pengajian tinggi.

 

“Tahniah kepada Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP), Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang bergabung membentuk sinergi dalam menjayakan pelaksanaan KAFA Menengah di negeri ini.

 

“Pastinya bagi pihak Kerajaan Negeri, kita akan terus memfokuskan aspek pendidikan termasuk pendidikan agama yang mana merupakan aspek penting dalam membangunkan generasi untuk membawa agenda pembangunan negeri pada masa depan,” ujarnya yang hadir menyempurnakan majlis berkenaan di sini.

PARA pelajar cemerlang dan tenaga pengajar KAFA Menengah diraikan dalam jamuan makan tengah hari bersama-sama Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman serta dif kenamaan lain di sini baru-baru ini.

Menurut Ahmad Zakiyuddin lagi, cabaran masa kini dalam sistem kekeluargaan adalah didikan agama.

 

Justeru, Kerajaan Negeri akan meneruskan perancangan bagi merancakkan lagi pendidikan Islam dalam kalangan para pelajar dengan menekan aspek kemahiran membaca Al-Quran serta pengamalan fardu ain yang menjadi aspek penting serta dituntut dalam Islam.

 

“(Dan) jika dilihat pada pencapaian hari ini, minat para pelajar untuk mempelajari bahasa Arab dan mendalami ilmu Al-Quran melibatkan pelajar dari sekolah kebangsaan harian juga bertambah baik,” kata Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti itu.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif YIPP, Mohd. Fitri Ibrahim memaklumkan bahawa program KAFA Menengah mula dilaksanakan di tiga buah masjid pada tahun 2020 yang mana Masjid At-Taqwa Taman Bertam Indah di Kepala Batas menjadi antara perintis pelaksanaan program ini. 

 

“Setelah dua tahun, jumlah masjid yang melaksanakan program ini bertambah dari 11 masjid seluruh negeri pada tahun 2022, kini menjadi 13 buah masjid dengan sasaran 600 pelajar untuk tahun ini,” jelasnya.

AHMAD Zakiyuddin Abdul Rahman (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kecemerlangan kepada salah seorang pelajar terbaik keseluruhan.

Difahamkan, KAFA Menengah ini ditaja oleh Kerajaan Negeri dan Zakat Pulau Pinang serta digerakkan oleh Yayasan Islam Pulau Pinang.

 

Setiausaha MAINPP, Dato’ Samsudin Bakar; Pengarah JHEAIPP, Zulkifli Rashid serta wakil dari JAIS antara tetamu kenamaan yang hadir pada majlis tersebut.

 

Selain menerima sijil penghargaan atas pencapaian masing-masing, para pelajar cemerlang turut diraikan dalam jamuan makan tengah hari di sini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI