Harap permohonan bina Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah disenarai dalam RMK-12

Admin

PENAGA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap agar permohonan Kerajaan Negeri bagi projek pembinaan Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah daripada Kerajaan Persekutuan dapat disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Beliau menyifatkan pembinaan galeri tersebut sebagai kemuncak kepada usaha Kerajaan Negeri dan pihak-pihak berkaitan untuk melindungi artifak-artifak serta tapak arkeologi yang menjadi bukti peninggalan sejarah lebih 5000 tahun dahulu.

“Walaupun Kerajaan Negeri sudah banyak kali membuat permohonan untuk mendapatkan peruntukan bagi membina dan menubuh galeri ini, namun ia masih belum ada berita baik.

Bukit Kerang yang berusia lebih 5000 tahun dijumpai di Tapak Arkeologi Guar Kepah.

“Oleh itu, diharapkan permohonan peruntukan untuk projek pembinaan Galeri Warisan Guar Kepah ini dapat dipertimbang serta diluluskan peruntukannya dalam RMK-12.

“Saya berminat teliti permohonan, sekiranya boleh, pihak Kerajaan Negeri akan pertimbangkan untuk memberi peruntukan bagi menubuhkan galeri di Guar Kepah ini kerana nilai sejarahnya adalah amat tinggi bukan sahaja sebagai tarikan pelancong bahkan lebih daripada itu.

“Nilai sejarah lebih 5000 tahun ini perlu dikekalkan serta dipulihara untuk santapan generasi sekarang lebih-lebih lagi ia telah dimasukkan dalam sukatan mata pelajaran Sejarah Tahun 4,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas mengadakan lawatan ke Galeri Arkeologi Guar Kepah pagi tadi.

Antara artifak yang akan dipamerkan apabila Galeri Warisan Guar Kepah siap kelak.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan (PETACH), Yeoh Soon Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud.i

Timbalan Pengurus Besar Unit Perbadanan Ketua Menteri (CMI), S. Bharathi; Pegawai Penyelaras Khas bagi Parlimen Kepala Batas, Lay Hock Peng serta Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP juga turut serta pada lawatan tersebut.

Dalam pada itu, Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan Sains, Teknologi & Inovasi menjelaskan bahawa pembinaan Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah dijangka menelan kos kira-kira RM10 juta.

“Ini adalah kebanggaan negeri Pulau Pinang serta penduduk setempat kerana sejarahnya, dan kita berharap agar pihak CMI yang merupakan penjaga kawasan ini dan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM akan sentiasa bersama untuk merealisasikan hasrat ini.

“Kawasan ini bukan hanya satu bahagian sahaja tetapi merangkumi Lembah Bujang iaitu di bahagian utara Pulau Pinang dan juga selatan negeri Kedah,” ujarnya.

Prof. Datuk Dr. Mokhtar antara yang bertanggungjawab menjalankan ekskavasi di Tapak Arkeologi Guar Kepah.

Mengulas lanjut, Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Mokhtar Saidin yang turut serta dalam lawatan itu menjelaskan bahawa kira-kira 500 spesimen sedia untuk dipamerkan apabila galeri tersebut siap, kelak.

“Tapak arkeologi akan menjadi produk pelancongan arkeo yang mana Kerajaan Negeri boleh mengambil faedah berkaitan untuk menggabungkan dengan bukti-bukti sejarah lain bagi mewujudkan satu produk pelancongan yang baharu di Pulau Pinang.

“Kami di USM akan terus membantu menjalankan ekskavasi dan apa juga yang diperlukan untuk negeri ini,” jelasnya.

Difahamkan, tapak arkeologi Guar Kepah pernah dikaji pada tahun 1851 oleh pihak British.

Selain daripada cengkerang dan pelbagai artifak seperti tembikar, porselin, alat batu, tulang dan gigi haiwan, turut dijumpai di kawasan berkenaan adalah rangka manusia dikenali “Penang Women” berusia 5710 tahun yang mana ia merupakan rangka Guar Kepah ke-42 yang pernah ditemui oleh pengkaji di negara ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS