Ketua Menteri sumbang pelitup muka kepada persatuan nelayan Pasar Bisik

Admin

PENAGA – Kira-kira 9,000 keping pelitup muka sumbangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang diedarkan kepada tiga persatuan nelayan serta penduduk setempat di sekitar Pasar Bisik, Kuala Muda dekat sini.

Sumbangan tersebut disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika beliau hadir melawat operasi nelayan di pasar berkenaan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Chow Kon Yeow memberikan pelitup muka kepada salah seorang nelayan semasa beliau mengadakan lawatan ke Pasar Bisik dekat Kuala Muda, di sini tadi.

Selain menyampaikan sumbangan, Kon Yeow turut menyantuni para nelayan dan menyaksikan sendiri kaedah penjualan hasil laut oleh nelayan di pasar berkenaan.

Turut serta, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunam Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin: Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan (PETACH), Yeoh Soon Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud serta Pegawai Penyelaras Khas bagi Parlimen Kepala Batas, Lay Hock Peng.

Difahamkan, Pasar Bisik kini kembali beroperasi seperti biasa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) selepas diarahkan tutup selama tujuh hari oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) pada 1 Jun lalu.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNPP, Mohd. Wazir Khalid sebelum ini dilaporkan berkata bahawa penutupan itu diambil berikutan kegagalan pematuhan SOP walaupun sudah berkali-kali memberi teguran dan amaran sejak PKP dilaksanakan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS