Harap Pusat segera salur dana RTB Sungai Pinang atasi banjir – Exco

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

DATUK KERAMAT – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo menggesa Kerajaan Pusat supaya segera menyalurkan dana bagi mengatasi masalah banjir di kawasan sepanjang Sungai Pinang pada masa hadapan.

Jagdeep yang juga Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan berkata, dana tersebut diperlukan segera bagi
menyempurnakan fasa berikutnya bagi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang.

“Kita (Kerajaan Negeri) memerlukan kira-kira RM600 juta iaitu RM300 juta bagi RTB Sungai Pinang yang merangkumi kerja-kerja melebar dan mendalamkan Sungai Pinang dan RM300 juta lagi diperlukan bagi
penaiktarafan kualiti air sedia ada.

“Lagipun, kerja-kerja bagi penyempurnaan fasa berikutnya sepatutnya dilakukan sebelum ini, tetapi sejak 1999 (siap Fasa 1), tiada sebarang usaha dibuat oleh Kerajaan Negeri Barisan Nasional (BN) terdahulu.

“Sekiranya RTB Sungai Pinang dilaksanakan sebelum ini, pastinya Kerajaan Negeri kini boleh berjimat selama sembilan tahun kerana jarak sembilan tahun (1999 sehingga 2008) langsung tiada usaha dilakukan (bagi menyempurnakan fasa-fasa RTB Sungai Pinang),” katanya yang ditemui sejurus mengedarkan kalendar 2017 di pasar lambak Lorong Kulit (Rope Walk) di sini baru-baru ini.

Menurut Jagdeep, pada penghujung tahun lalu (2016), Kerajaan Pusat telah bersetuju untuk menyalurkan RM150 juta bagi pelaksanaan fasa RTB Sungai Pinang berikutnya.

“Cuma yang saya harapkan agar, Kerajaan Pusat dapat segera menyalurkan dana tersebut kerana saya tidak mahu kejadian banjir yang melanda di Kelantan berlaku di Pulau Pinang,” ujarnya yang turut menyuarakan cadangan untuk membina baraj di muara Sungai Pinang kepada Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri
Pulau Pinang, Ir. Sabri Abdul Mulok baru-baru ini.

Dalam pada itu, Jagdeep turut memberi respons apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan ‘hadiah’ RM800 juta bagi menangani masalah banjir di Kelantan baru-baru ini.

“Kejadian banjir di Kelantan bukanlah perkara baru, sebelum inipun telah banyak pengumuman dibuat untuk mengatasi banjir tersebut, contohnya pada tahun 2015, Kerajaan Pusat telah mengumumkan peruntukan RM3
bilion untuk membina empangan di Kelantan, namun selepas itu, tiada perkembangan berita tersebut.

“Saya khuatir, Kerajaan Pusat hanya membuat pengumuman demi pengumuman tetapi tiada tindakan dilakukan dan pastinya saya tidak mahu perkara sama (banjir di Kelantan) berlaku di Pulau Pinang.

“Projek-projek seperti RTB Sungai Pinang ini tidak boleh dilaksanakan oleh JPS Negeri kerana merupakan bidang kuasa Pusat yang melibatkan jangka masa panjang dan merupakan projek berimpak besar.

“Maka, Kerajaan Pusat perlu segera bertindak kerana ia melibatkan keselesaan rakyat, mungkin Kerajaan Pusat perlu diubah agar kerja-kerja RTB dapat dilaksanakan demi rakyat,” tegasnya yang menzahirkan rasa empati terhadap rakyat di Kelantan dan Terengganu yang terpaksa dipindahkan rentetan kejadian banjir yang melanda.

Sebagai rekod, terdapat 23 RTB di Malaysia termasuk RTB Sungai Pinang.}