Harap SPPP beri kerjasama kekalkan perkhidmatan feri Pulau Pinang – Guan Eng

Admin

GEORGE TOWN – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berharap agar pihak Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) memberikan kerjasama untuk mengekalkan perkhidmatan feri Pulau Pinang sebagaimana diumumkan oleh Menteri Kewangan baru-baru ini.

Menurut beliau, pihak SPPP dan Kementerian Pengangkutan (MoT) perlu akur dengan kehendak rakyat Pulau Pinang yang mahukan perkhidmatan feri ikonik tersebut diteruskan.

Lim Guang Eng bersama-sama Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang menunjukkan sokongan terhadap keputusan Menteri Kewangan untuk mengekalkan perkhidmatan feri.

“Pihak SPPP dan MOT diharapkan dapat menghormati keputusan yang dibuat berhubung pengekalan perkhidmatan feri di Pulau Pinang.

“Kami tidak menentang penggunaan katamaran namun biarlah ia dijalankan secara bersama dengan perkhidmatan feri Pulau Pinang.

“Kami tahu feri-feri yang ada sudah usang dan tidak boleh tambah lagi, namum apa yang kami mahu adalah perkhidmatan ini dapat diteruskan agar bukan sahaja dapat menjadi kenangan manis tetapi juga hadiah kepada generasi akan datang,” katanya dalam sidang akhbar di Tanjung City Marina dekat sini pada 19 Disember lalu.

Dalam pada itu, Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih menafikan bahawa beliau dan bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pernah merancang untuk menamatkan perkhidmatan feri seperti dakwaan sesetengah pihak.

“Kami tidak pernah sebut perkhidmatan feri akan ditamatkan (ketika menjadi kerajaan) dan apa yang dipaparkan adalah tajuk yang berlainan dengan isi kandungan. Ini adalah taktik kotor yang cuba dimainkan oleh pihak-pihak tertentu,” tegasnya lagi.

Tambah Guan Eng, ketika beliau menjadi Menteri Kewangan antara syarat utama yang ditekankan adalah perkhidmatan feri harus diteruskan.

salahsatu feri yang masih berfungsi.

“Walaupun tidak semua, tetapi satu atau dua buah feri yang sedia ada mesti tetap berjalan seperti biasa dan ini adalah syarat yang telah ditetapkan ketika itu,” katanya.

Guan Eng berkata, beliau akan tetap mempertahankan perkhidmatan feri di negeri ini dan akan kembali pada 1 Januari 2020 bagi memastikan perkhidmatan itu berjalan seperti yang telah diarahkan oleh Kerajaan Pusat.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF