MBSP sasar mandulkan 5,000 anjing dan kucing terbiar dalam tempoh dua tahun

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menyasarkan sebanyak 5,000 ekor anjing dan kucing terbiar dapat dimandulkan dalam tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2020.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, bagi mencapai sasaran tersebut pihaknya telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Ipoh Society for the Prevention of Cruelty to Animals (ISPCA) hari ini.

“MBSP telah mengambil pelbagai inisiatif untuk mengurangkan populasi anjing terbiar di kawasan awam, antaranya merangka pelaksanaan Program Trap, Neuter & Release-Management (TNR-M).

“Sehubungan itu, MBSP memilih ISPCA sebagai rakan strategik bagi pelaksanaan program ini yang akan diadakan selama dua tahun bermula 1 Januari 2021 hingga 1 Januari 2023.

“Program ini dijangka akan dilaksanakan secara bulanan dengan sasaran sebanyak 5,000 ekor anjing termasuk kucing berjaya dimandulkan bagi tempoh masa tersebut,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis dekat Menara Bandaraya MBSP dekat sini.

Hadir sama, barisan Ahli Majlis dan Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod.

Tambah Rozali, selain pemandulan, kerjasama dengan ISPCA turut melibatkan program pendidikan dengan edaran risalah dan taklimat di samping menerangkan konsep projek berkenaan kepada orang awam.

Tambahnya lagi, kawasan Seberang Perai Tengah (SPT) akan menjadi kawasan pertama bagi pelaksanaan projek berkenaan memandangkan aduan yang diterima berkaitan anjing terbiar amat tinggi di daerah berkenaan.

“Aduan berkaitan anjing terbiar yang diterima MBSP sehingga November 2020 di daerah SPT adalah 548 diikuti Seberang Perai Utara, SPU (389) dan Seberang Perai Selatan, SPS (343),” ujarnya lagi.

Difahamkan, sebanyak 30,000 ekor anjing liar telah dikesan di kawasan Seberang Perai setakat ini dan sebanyak 200 ekor anjing telah dimandulkan dalam tempoh satu tahun.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD