Harap sumbangan suntik semangat belajar

PULAU TIKUS – Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Lee Chun Kit memperuntukkan 194 set kelengkapan persekolahan bagi disumbangkan kepada golongan pelajar memerlukan sebagai persediaan sesi persekolahan baharu Januari 2015 di sini.

Zairil ketika ditemui berkata, sebanyak 153 set diperuntukan kepada pelajar-pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, pelajar-pelajar terpilih daripada Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan (20 set) dan bakinya kepada dua rumah anak-anak yatim terpilih iaitu Rumah Ru Yi dan Penang Shan Children’s Home.

“Sumbangan kelengkapan persekolahan ini dilihat sebagai sebahagian daripada inisiatif kami untuk membantu pelajar-pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Jangan jadikan istilah kurang berkemampuan sebagai alasan untuk tidak berjaya, sebaliknya mereka yang dibangku sekolah perlu cekal serta berusaha keras untuk membawa nasib keluarga ke arah yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kelengkapan Sekolah di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Padang Lada, Geoffrey Gan.

Dalam pada itu, bagi Chun Kit, beliau berharap agar sumbangan tersebut menyuntik semangat pelajar untuk belajar bersungguhsungguh dan mencapai kejayaan bukan sahaja dalam pelajaran, tetapi juga kehidupan.

“Sejumlah RM10,770 dibelanjakan bagi membeli kelengkapan persekolahan termasuk pakaian seragam sekolah dan kelengkapan menulis,’’ ujar beliau.