Harga rumah tidak akan naik selepas SST – Exco Perumahan

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini memberi jaminan bahawa harga rumah mampu milik di negeri ini tidak akan dinaikkan meskipun selepas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan nanti.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo pada sidang media di Komtar, sebentar tadi berkata, pemaju perumahan di negeri ini masih perlu mematuhi garis panduan penetapan harga rumah.

Menurutnya, garis panduan penetapan harga rumah diperkenalkan hasil jalinan kerjasama Kerajaan Negeri dengan pihak pemaju swasta dalam usaha membekalkan perumahan mampu milik kepada rakyat di Pulau Pinang.

“Pada tahun 2016, kita (Kerajaan Negeri) telah menetapkan di bahagian pulau had (siling) adalah RM300,000, dan di Seberang (Perai) pula RM250,000 untuk pelbagai skim perumahan mampu milik.

“Meskipun ketika itu ada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST, yang diperkenalkan pada 1 April 2015), Kerajaan Negeri telah menurunkan had siling harga bagi bahagian pulau iaitu daripada RM400,000 sebelum 2016 kepada RM300,000 sehingga kini.

“Tambahan pula, pihak pemaju juga telah menikmati pelbagai insentif dalam pemajuan rumah mampu milik di negeri ini.

“Jadi, saya memberi jaminan bahawa harga perumahan mampu milik tidak akan dinaikkan dan akan memastikan ia kekal (mengikut had siling),” respons Jagdeep terhadap soalan pemberita sama ada pelaksanaan SST nanti akan menyebabkan kenaikan harga rumah di negeri ini.

Mengenai projek perumahan yang dilaksanakan oleh pentadbiran terdahulu, Jagdeep memaklumkan bahawa kelulusan Commencement of Works (COW) atau Memulakan Kerja Pembinaan telah diberikan kepada Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Kampung Kastam, Bukit Gelugor.

“Dua lagi projek PR1MA iaitu di Permatang Pauh dan Batu Ferringhi dengan jumlah unit keseluruhan dijangka hampir 4,000 unit turut akan ditawarkan kepada rakyat Pulau Pinang nanti.

“Sama ada projek berkenaan akan dijenamakan semula atau tidak itu merupakan isu lain, yang penting pembekalan perumahan untuk rakyat perlu diteruskan,” katanya yang turut merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri yang mahu jenama ‘1Malaysia’ digantikan kepada jenama baharu.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep turut mengumumkan penganjuran Ekspo Perumahan Mampu Milik yang akan diadakan pada 18 dan 19 Ogos ini bertempat di Tingkat Bawah, Prangin Mall.

“Ekspo perumahan ini merupakan ekspo pertama yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada penggal ini (pasca Pilihan Raya Umum Ke-14) dengan penglibatan 13 pemaju swasta dan agensi negeri, Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Sejumlah 6,284 unit rumah pelbagai skim ditawarkan oleh pemaju kepada pembeli rumah layak di negeri ini termasuk mereka yang mahu memiliki rumah pertama,” ujarnya sambil berterima kasih kepada pihak pemaju swasta yang sama-sama memastikan pembekalan rumah mampu milik adalah mencukupi untuk rakyat.

Terdahulu, Jagdeep memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang berjaya mengotakan janji-janji yang terkandung di bawah ‘Perumahan Untuk Semua’ Manifesto Pakatan Harapan Pulau Pinang dengan menyediakan 80,604 unit perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik di negeri ini sama ada telah siap dibina, sedang dalam pembinaan mahupun telah diberikan kelulusan untuk dibina.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING