Komited naik taraf pasar awam, tapak penjaja dan kompleks makanan demi manfaat semua

PAYA TERUBONG Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertekad untuk terus memantau semua projek pasar awam, tapak penjaja dan kompleks makanan di negeri ini serta memastikannya dinaik taraf sekiranya perlu demi manfaat semua.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, sejak 2008, Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM50.6 juta bagi membina dan menaik taraf 33 pasar awam, tapak penjaja dan kompleks makanan di bawah seliaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Malah, bagi kawasan di bawah seliaan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), beliau memberitahu, sejumlah RM10.2 juta diperuntukan bagi tujuan sama di Seberang Perai.

Kerajaan Negeri sangat menitikberatkan keselesaan dan kemudahan rakyat di negeri ini, malah melalui kedua-dua pihak berkuasa tempatan (MBPP dan MPSP), kita sentiasa merangka pelbagai strategi bagi membantu peniaga kecil dalam menjalankan aktiviti perniagaan di ruang niaga yang lebih moden dan komprehensif.

Bukan itu sahaja, MBPP juga kini dalam proses pembinaan dan menaik taraf tiga tapak penjaja dan pasar awam iaitu di Batu Feringghi, Teluk Kumbar dan Taman Free School.

MPSP pula dalam proses pembinaan dan naik taraf enam tapak penjaja dan pasar awam di Seberang Jaya, Bukit Mertajam dan Taman Sentosa di Seberang Perai Selatan,” ucapnya pada Majlis Perasmian Bangunan Pasar Awam dan Kompleks Penjaja di Tingkat Paya Terubong 4 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan wakil pemaju, John Tan Kok Hooy.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang hadir menyempurnakan perasmian berkaitan berkata, pasar awam dan kompleks makanan di atas Lot 8826 dekat sini dibiarkan terbengkalai lebih 30 tahun.

Projek naik taraf ini sepatutnya siap pada April tahun hadapan, namun, atas komitmen yang tinggi, projek ini berjaya memperoleh Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 23 Julai lalu dan majlis pecah tanah disempurnakan pada 14 Mei 2016 dengan kos RM8 juta.

Bukan sahaja projek pasar awam di Paya Terubong ini berjaya dipulihkan, malah Kerajaan Negeri turut menyelamatkan beberapa projek lain di bawah pakej sama iaitu pangsapuri Majestic Heights Fasa 2A membabitkan 370 unit rumah,” ujarnya yang turut memuji pihak pemaju kerana berjaya menyempurnakan projek ini lebih awal.

Serentak itu, Kon Yeow turut berharap agar para peniaga dapat segera memenuhi unit-unit gerai di Pasar Awam dan Kompleks Penjaja Paya Terubong berkaitan sebelum ia dibuka kepada umum tidak lama lagi.

Difahamkan, pihak pengurusan terdahulu membiarkan projek yang kononnya menjadi nadi Bandar Satelit Pulau Pinang itu terbengkalai setelah muflis pada 1997, sehinggalah Kerajaan Negeri Pakatan mengambil alih pengurusan pada 2008.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI