Hargai anak-anak kita, nasihat Chong Eng

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI


JELUTONG – Lebih 100 kanak-kanak,  guru-guru dan ibu bapa menyertai Karnival Keluarga Montessori Children House (MCH) dekat Jalan Bukit Dumbar di sini sempena Hari Mainan Sedunia baru-baru ini.

Exco Belia & Sukan, Wanita, Keluarga & Komuniti dan Kesenian, Chong Eng berkata, Pulau Pinang mula meraikan hari keriangan itu sejak tahun 2011.

“Kanak-kanak yang ada di sini pada hari ini sungguh bertuah kerana mempunyai ibu bapa yang sangat prihatin dan membuatkan mereka menikmati pelbagai keseronokan,” ujarnya pada sidang media bersama-sama penganjur, Dr. Sim Joo Seng.

Penasihat Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) itu berkata, ibu bapa seharusnya lebih meluangkan masa bersama-sama keluarga, iaitu sekurangkurangnya pada hari hujung minggu demi menghargai masa depan anak-anak mereka.

Kesempatan itu juga, Chong Eng berkata, pihaknya sedang giat merangka fomulasi mengenai kanak-kanak untuk dibentangkan serta diimplimentasi oleh Kerajaan Negeri pada tahun depan.

“Satu lagi buah tangan untuk wanita di Pulau Pinang, apabila kita akan menubuhkan Briged Wanita di samping menjalankan aktiviti berfaedah untuk golongan wanita,” ujar Ahi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang berkenaan.

Sebelum itu, Joo Seng berkata, ibu bapa seharusnya lebih cakna dengan pergaulan serta tumbesaran anak-anak mereka.

“Ibu bapa harus memastikan anak-anak mereka turut bergaul secara sihat dengan kanak-kanak lain bagi mewujudkan keseimbangan yang betul dalam kehidupan seharian mereka untuk menjamin tumbesaran yang sihat dan baik” ujar beliau sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri.

Hari Mainan Sedunia disambut pada 28 Mei tiap-tiap tahun.