Larian Menara MPSP kini program tahunan

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB


BUKIT MERTAJAM – Larian Menara Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) 2013 baru-baru ini menerima 738 penyertaan.

Pelajar tingkatan empat dari Sekolah Menengah (SM) Machang Bubuk, A. Hamsavaanie terkejut kerana menjuarai larian ketegori muda perempuan.

“Tentu gembiralah. Ini kali pertama saya menyertai (kejohanan) dan menang tempat pertama ketegori,” ujarnya yang mencatat rekod 31:35 minit kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Bagi Mohd. Mosin Saidan, pelajar tingkatan lima dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Impian pula, kejuaraan ketegori muda lelaki menjadi satu lagi koleksi kejayaan dalam hidupnya.

“Selalu juga menang kejohanan larian seperti ini. Saya dapat tangga keenam peringkat Malaysia dalam (kejohanan) MSSM (Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia) baru-baru ini,” ujar beliau yang mencatat rekod 24.22 minit.

Majlis perasmian penutup program itu disempurna oleh Exco Belia & Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti dan Kesenian, Chong Eng.

Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang berkata, program buat julung kalinya dianjur di Seberang Perai itu akan dijadikan acara tahunan.

“Saya berharap lebih ramai lagi penyertaan, khususnya dari kalangan wanita pada tahun depan,” ujar beliau di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda, di sini.

ADUN Berapit, Lydia Ong Kok Fooi, Lee Khai Loon (ADUN Machang Bubuk), Maimunah Mohd. Sharif (Yang Dipertua MPSP), Frederick Tan Teik An (Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang) dan V. Govindasamy (Setiausaha bagi Persatuan Atlet Amatur Pulau Pinang) turut hadir pada majlis perasmian penutup kejohanan tersebut.