Hari Bersama Pelanggan KADUN Jawi 7 April, 18 agensi kerajaan ambil bahagian

Admin

JAWI – Buat julung kalinya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye bersama-sama Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi bakal mengadakan Hari Bersama Pelanggan KADUN Jawi pada 7 April 2019 (Ahad) bertempat di Pasaraya C-Mart dekat Nibong Tebal.

Sebanyak 18 agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan akan mengambil bahagian dalam program yang bermula pada jam 10:00 pagi itu.

Antaranya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Pos Malaysia Berhad dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Selain itu, Jabatan Pertanian Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Jabatan Penerangan Daerah SPS, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Butterworth, Pejabat Kesihatan Daerah SPS, Perpustakaan Pulau Pinang Cawangan Jawi dan Jabatan Perumahan Daerah SPS turut mengambil bahagian.

Dalam pada itu, Mooi Lye ketika ditemui dalam sidang media pagi ini berkata, program tersebut adakan rentetan terdapat rungutan daripada orang ramai berhubung kesukaran berurusan dengan agensi kerajaan.

“Oleh demikian, saya berpandangan adalah lebih baik jika anjurkan program sebegini dengan melibatkan agensi-agensi kerajaan berkaitan lebih kerap.

“Sekaligus dapat menyelesaikan masalah serta memenuhi keperluan penduduk khasnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi,” katanya.

Mengulas lanjut, pada hari sama, turut diadakan sesi taklimat berkaitan Program Sukareka Insentif (i-Suri) untuk golongan B40 oleh pegawai KWSP.

“Bagi mereka yang layak memohon, disarankan agar hadir untuk mendengar taklimat dan membuat pendaftaran pada hari berkenaan.

“Saya juga menyeru kepada orang ramai dalam kawasan Seberang Perai khususnya di KADUN Jawi supaya hadir dan mengambil peluang untuk berurusan terus dengan agensi-agensi kerajaan yang terlibat,” seru beliau.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADUN