Hari Bersama Pelanggan KADUN Jawi capai matlamat, bantu mudahkan urusan penduduk – ADUN

Admin

JAWI – Buat julung kalinya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye menganjurkan Hari Bersama Pelanggan KADUN Jawi bertempat di Pasar Raya C-Mart dekat Nibong Tebal.

Program yang dianjurkan bersama-sama Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi itu turut disertai oleh 19 agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.

Orang ramai menggunakan kesempatan pada program Hari Bersama Pelanggan KADUN Jawi bagi menyelesaikan urusan bersama agensi kerajaan.

Ketika ditemui Mooi Lye berkata, matlamat utama penganjuran program berkenaan adalah untuk membantu memudahkan orang ramai berurusan dengan agensi-agensi kerajaan agar mampu memberikan impak positif dalam memperkasakan perkhidmatan pelanggan.

“Saya juga sentiasa mencari kaedah dan peluang untuk menambah baik dan memantapkan kecekapan masing-masing khasnya agensi-agensi kerajaan yang terlibat.

“Agensi-agensi kerajaan tidak boleh berurusan dengan orang ramai menggunakan corak dan ritma yang sama terutamanya dalam hal ehwal tadbir urus dan perkhidmatan bahkan perlu sentiasa bergerak pantas ke hadapan untuk kekal relevan dan berdaya saing.

“Justeru, perkhidmatan berasaskan integriti, bertanggungjawab, berkualiti tinggi, responsif, bertolak ansur dan bersedia memenuhi kehendak pelanggan amatlah penting yang dapat menghapuskan prosedur kurang dinamik dan lapuk.

“Usaha proaktif ini juga dapat menzahirkan gagasan mesra pelanggan dan bersifat terbuka dalam menerima maklum balas berkaitan perkhidmatan yang diberikan agensi-agensi berkaitan.

“Kesimpulannya, penganjuran julung kali Hari Bersama Pelanggan KADUN Jawi ini telah mencapai matlamatnya,” katanya ketika berucap merasmikan program berkaitan, semalam.

Difahamkan, antara agensi kerajaan yang mengambil bahagian adalah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Pos Malaysia Berhad dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Selain itu, Pejabat Pertanian Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Pejabat Penerangan Daerah SPS, Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Pejabat Kesihatan Daerah SPS, Perpustakaan Pulau Pinang Cawangan Jawi, Jabatan Perumahan Daerah SPS, Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN) dan Rapid Penang turut mengambil bahagian.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADUN