Hari Bumi satukan masyarakat pelbagai etnik Pulau Pinang

Admin

 

BUKIT MERTAJAM – Hari Bumi merupakan nama bagi dua sambutan yang berbeza, kedua-duanya diadakan setiap tahun ketika musim bunga di hemisfera utara, dan musim luruh di hemisfera selatan dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran dan penghargaan kepada alam sekitar.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga meraikan Hari Bumi, yang dimulakan oleh John Connell pada 1969, setiap tahun ketika ekuinoks, iaitu pencerapan global yang diasaskan oleh Gaylord Nelson sebagai pengajar alam sekitar. Dalam pada itu, sejak Januari 1970, ia juga dikenali sebagai Hari Bumi, yang diraikan di kebanyakan negara setiap tahun pada 22 April.

Di Malaysia, Hari Bumi juga disambut meriah dengan penganjuran pelbagai program seperti kitar semula dan menanam pokok bagi mempromosikan lebih kesedaran kepada orang ramai dan sekaligus mengurangkan tabiat pembuangan sampah serta sisa toksik,.

Bersempena dengan sambutan Hari Bumi ke – 41, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah menganjurkan Program Larian Hari Bumi Sedunia yang telah diadakan di Stadium MPSP, Bukit Mertajam pada 24 April, baru-baru ini.

Program ini dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (EXCO) Komtar, Ng Wei Aik, bersama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Kesihatan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang, Phee Boon Poh, kakitangan MPSP serta Jabatan-jabatan kerajaan dan swasta.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, program sebegini merupakan platform terbaik untuk menyatukan semua lapisan masyarakat di samping menghayati keunikan bumi sambil bersukan. Beliau juga berbangga kerana Pulau Pinang berjaya menjadi Negeri Hijau pertama di Malaysia.

Saya bangga bahawa lebih kurang 1,000 peserta telah mendaftarkan diri untuk turut serta dalam larian bersempena Hari Bumi Sedunia. Untuk makluman semua, hasil daripada yuran pendaftaran yang dikenakan kepada peserta, ia akan disumbangkan bagi membantu keluarga miskin tegar di negeri ini,” katanya.