Ibidien – pelaburan bijak Jepun

Admin

 

 

SIMPANG EMPAT – Syarikat penghasilan peranti elektronik, Ibiden Electronics (Ibidien) membuat keputusan bijak apabila memilih Pulau Pinang sebagai tapak pelaburan terbaru dengan tambahan nilai pelaburan sebanyak RM1 bilion di negeri ini.

Sebelum ini, Ibiden telah melabur sebanyak RM1.2 bilion bagi pembinaan plant 1 dan pertambahan yang diumumkan kini merupakan jumlah bagi plant 2.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang lazimnya menyambut baik dan akan terus memberi sokongan di atas usaha Ibiden untuk memperluaskan bisnes mereka di Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan kedatangan Ibiden dan berharap tahun-tahun mendatang lebih menguntungkan dan menggembirakan semua pihak.

Pulau Pinang bukan sahaja nombor satu dari segi pelaburan, malah nombor satu dalam mengurangkan kadar jenayah pada tahun lepas iaitu sebanyak 27 peratus ; nombor satu dalam mengendalikan kewangan ; nombor satu dalam memerangi rasuah dan juga terdapat satu rahsia yang mungkin tidak diketahui ramai iaitu nombor satu dalam menyajikan masakan Jepun terbaik di Malaysia”, katanya ketika merasmikan Majlis Pembukaan Plant 1 dan Pecah Tanah Plant 2 Ibidien Ibiden Electronics Malaysia Sdn. Bhd. di sini baru-baru ini.

Majlis yang berlangsung di Taman Perindustrian Sains, Bukit Minyak itu turut dihadiri oleh Presiden dan CEO Ibiden Co. Ltd., Hiroki Takenaka, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Lim Hock Seng, ADUN Bukit Tambun, Law Choo Kiang, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Maimunah Mohd. Sharif dan beberapa ahli kenamaan yang lain.