Hari Ibu, kemenangan Wan Azizah hadiah paling bermakna

BUKIT TENGAH – Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani menegaskan bahawa kemenangan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P44 baru-baru ini merupakan hadiah yang teristimewa pada sambutan Hari Ibu kali ini.

“Kemenangan Wan Azizah tersebut dilihat dapat melonjakkan martabat kaum wanita terutamanya para ibu di negara ini,” katanya semasa hadir mengedarkan bunga kepada para ibu sempena sambutan Hari Ibu 2015 di Pasar Awam Perkampungan Juru di sini baru-baru ini.

Tambah Kasthuriraani, Kerajaan Negeri kini amat jelas menghargai golongan wanita melalui pelaksanaan program-program dianjurkan terutamanya untuk ibu- ibu di sini.

“Antaranya, program Ibu Tunggal dan Ibu Emas yang mana Kerajaan Negeri menyampaikan sumbangan tahunan bagi menghargai pengorbanan serta jasa mereka.

“Selain itu, program pemeriksaan mamogram percuma, Mammo Penang khas untuk wanita berusia 35 tahun dan ke atas adalah bagi menjamin kesihatan golongan wanita di negeri ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, walaupun program pemberian bunga sempena sambutan Hari Ibu Sedunia daripada pihaknya adalah tidak seberapa, tujuan utama adalah bagi membolehkan golongan ibu merasakan diri masing-masing dihargai serta disayangi.

“Sebanyak 2,000 kuntum pelbagai jenis bunga diedarkan kepada golongan ibu di kawasan Parlimen Batu Kawan pada hari ini.

“Dengan pemberian ikhlas ini, diharap ibu-ibu akan merasa diri dihargai dan lebih bersemangat untuk menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga dan pembangunan negeri ini,” kata Kasthuriraani.

Sementara itu, turut dihargai adalah golongan ibu di Dewan Undangan Negeri Datuk Keramat dan DUN Paya Terubong yang mana Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkaitan iaitu Jagdeep Singh Deo dan Yeoh Soon Hin turut turun padang mengedarkan kuntuman bunga kepada golongan teristimewa berkaitan.