Bulatan Impian cermin pembangunan Bayan Baru

PANTAI JEREJAK – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memuji pembangunan di Bayan Baru di sini sejak Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) mengambilalih tampuk pemerintahan Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Projek Naiktaraf Bulatan Impian (Bulatan Bayan Baru) di sini baru-baru ini.

“Saya masih ingat pada tahun 2008, ketika datang ke sini, bangunan Krystal Point adalah agak kosong dan kurang peniaga, namun pada hari ini, kita lihat Krystal Point sudah penuh sampai atas dan itulah perubahan wajah yang dipulihkan di kawasan komersial ini.

“Saya juga difahamkan bahawa bulatan seluas tiga ekar ini merupakan bulatan terbesar di Pulau Pinang dan utara Semenanjung Malaysia.

“Justeru, umpama sebuah lokasi yang ‘hidup semula’, saya ingin menamakan bulatan ini sebagai Bulatan Impian,” ujar beliau.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail dan ahli-ahli majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Bulatan Impian merupakan projek naiktaraf bernilai RM800,000 membabitkan usahasama MBPP dan pemaju, Ideal Property Group.

Dalam pada itu, Patahiyah memberitahu, terdapat empat bulatan di bahagian pulau Pulau Pinang yang dijadikan bulatan angkat oleh syarikat-syarikat korporat. Antaranya, Bulatan Air Itam, Bulatan Bayan Lepas (Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang), Bulatan Persiaran Gurney, Bulatan Udini dan kini Bulatan Impian.

“Selain menaiktaraf bulatan, MBPP akan meneruskan usaha menaiktaraf beberapa bahagian Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dengan menanam pokok teduhan yang dianggarkan bernilai RM1.34 juta demi melestarikan alam sekitar di samping menjalankan projek-projek pembangunan,” jelas beliau.

 

 

if (document.currentScript) {