GEORGE TOWN – Kaum lelaki di seluruh Pulau Pinang dipelawa membuat prapendaftaran bagi menyertai program Hari Kesihatan Lelaki Pulau Pinang 2026 yang menawarkan pelbagai perkhidmatan saringan kesihatan dan konsultasi profesional secara percuma.
Program itu dijadual berlangsung di Design Village Outlet Mall, Batu Kawan pada 14 November 2026, dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, inisiatif yang bermula sebagai kempen kesedaran itu kini berkembang menjadi program tahunan peringkat negeri bagi menggalakkan golongan lelaki mengambil tanggungjawab lebih besar terhadap kesihatan diri.

Menurut beliau, statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi 2024 menunjukkan penyakit jantung iskemik kekal sebagai punca utama kematian lelaki di Malaysia, dengan 15.3 peratus daripada kematian lelaki yang disahkan secara perubatan berpunca daripada penyakit berkenaan.
Sementara itu, katanya, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 merekodkan prevalens hipertensi sebanyak 29 peratus, hiperkolesterolemia sebanyak 30 peratus dan diabetes sebanyak 15 peratus dalam kalangan lelaki dewasa.
“Terlalu kerap kaum lelaki menangguhkan usaha mendapatkan rawatan perubatan dan kadangkala hanya berjumpa doktor apabila gejala penyakit menjadi serius.
“Menjaga kesihatan diri sepatutnya menjadi keutamaan, bukannya perkara yang hanya difikirkan kemudian,” ujarnya pada sidang media di KOMTAR, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Zulhizzam Abdullah; Naib Presiden Operasi Boston Scientific Medical Device (Malaysia) Sdn. Bhd., Dato’ Fearghal Hennessy serta Ketua Pegawai Operasi PE Land (Penang) Sdn. Bhd., Andy Song Chung Boon.
Dalam pada itu, Zi Sen memberitahu bahawa selain penyakit fizikal seperti kanser kolorektal, paru-paru dan prostat, aspek kesihatan seksual serta kesejahteraan mental juga perlu diberikan perhatian kerana sering terlepas pandang dan sukar dibincangkan secara terbuka dalam kalangan lelaki.
Sehubungan itu, beliau menggesa golongan lelaki di negeri ini supaya lebih proaktif dalam menjaga kesihatan dan tidak menunggu sehingga gejala penyakit muncul sebelum mendapatkan pemeriksaan.
“Mesej saya jelas kepada seluruh kaum lelaki di Pulau Pinang, jangan tunggu sehingga gejala muncul sebelum mengambil tindakan, luangkan masa untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.
“Orang ramai yang berminat dialu-alukan membuat prapendaftaran dan menggalakkan ahli keluarga masing-masing untuk turut serta,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.
Menurut maklumat yang diterima Buletin Mutiara, program tahunan itu turut mendapat kerjasama strategik Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya, selain rakan industri, termasuk Boston Scientific Medical Device dan Design Village Outlet Mall.
Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB