Hari Majlis MPSP ke-37 erat hubungan warga Seberang Perai

LIM Guan Eng menyampaikan cenderamata kepada Maimunah Mohd. Sharif semasa Majlis Sambutan Perayaan Hari Majlis MPSP kali ke-37 baru-baru ini.
LIM Guan Eng menyampaikan cenderamata kepada Maimunah Mohd. Sharif semasa Majlis Sambutan Perayaan Hari Majlis MPSP kali ke-37 baru-baru ini.

SEBERANG PERAI – Perayaan Hari Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang diadakan setiap tahun bukan sahaja diraikan dalam kalangan warga MPSP, malah turut diraikan bersama warga Seberang Perai dan warga Pulau Pinang. Acara perayaan kali ke-37 ini disambut bertujuan mengeratkan hubungan antara warga MPSP dan masyarakat.

Bulan Julai merupakan Bulan Kualiti MPSP. Pelbagai program telah diadakan termasuk melafazkan ikrar untuk meningkatkan kualiti mutu perkhidmatan, Program ‘Cleaner Greener’ Bukit Minyak, Program Buku Anugerah Pelajar Hijau Cemerlang yang diadakan di Sekolah Menengah Dato’ Onn, Butterworth dan Program Forum Perdana Ehwal Islam yang bertajuk ‘Kebersihan Adalah Sebahagian Daripada Iman’.

Bersempena dengan Sambutan Perayaan Hari Majlis MPSP baru-baru ini, terdapat empat pelancaran serentak yang dijalankan iaitu Pelancaran ‘Balance Score Card’, Program Tanah Bersih, CCTV dan Tempahan Gotong-Royong Online.

Saya mengucapkan tahniah kepada Maimunah Mohd. Sharif, Yang DiPertua MPSP kerana berjaya menganjurkan program sebegini dengan melancarkan beberapa inisiatif oleh MPSP untuk mewujudkan perkhidmatan demi ‘stakeholders’ dan orang ramai,’ kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika berucap di Majlis Sambutan Perayaan Hari Majlis MPSP kali ke-37, baru-baru ini.

Ketua Menteri juga berbangga dengan pencapaian MPSP yang berjaya mendapat lebihan pendapatan pada penutupan akaun 2009 iaitu sebanyak RM14.57 juta. Prestasi kewangan ini juga diperkukuhkan lagi dengan pencapaian lebihan pendapatan sebanyak RM23.04 juta pada penutupan akaun 2010. MPSP kini telah menjadi lebih baik dari segi kedudukan kewangan berbanding keadaan empat tahun lalu.