Harumkan nama negara, dua atlet negeri bakal terima insentif SKIMAS, umum Lip Chee

SOON Lip Chee (tiga dari kanan) turut menyampaikan sejambak bunga kepada Goh Jin Wei (tiga dari kiri) sambil ditemani ibunya, Loh Bee Sim (dua dari kiri) sejurus tamat sidang media.

GEORGE TOWN – Kejayaan dua atlet Pulau Pinang, Goh Jin Wei dan Amirul Hamizan Azahar mencapai pencapaian cemerlang di temasya Olimpik Remaja 2018 baru-baru ini telah melayakkan mereka menerima Skim Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS).

Atlet badminton, Jin Wei dan Amirul Hamizan atlet hoki telah mengharumkan nama negeri dan negara di temasya sukan berkenaan yang berlangsung dekat Buenos Aires, Argentina baru-baru ini.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee ketika mengumumkan pemberian insentif berkenaan berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat menghargai sumbangan para atlet yang telah berjaya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Sebagai tanda penghargaan, atlet yang berjaya ini akan diberikan insentif berbentuk kewangan di bawah SKIMAS… tarikh dan amaunnya akan diumumkan pada masa yang ditetapkan kelak,” ujarnya pada sidang media di Komtar, sebentar tadi.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Frederick Tan Teck An; Presiden Persatuan Badminton Pulau Pinang (PBPP), Leong Kin Weng dan ibu kepada Jin Wei, Loh Bee Sim.

Difahamkan, Jin Wei berjaya melakar sejarah baharu sebagai atlet pertama negara yang memenangi pingat emas bagi temasya Olimpik Remaja dan Kejohanan Remaja Dunia (Badminton) di Lima, Peru pada tahun 2015.

Manakala, bagi sukan hoki pula, kejayaan dilakar apabila pasukan negara berjaya menumpaskan India 4-2 di Buenos Aires pada aksi final.

Pada sidang media sama, Lip Chee turut menyampaikan bayaran insuran masing-masing bernilai RM50,000 kepada wakil bekas jurulatih skuad berbasikal Sukan Malaysia (SUKMA) Pulau Pinang, arwah Abdul Shukor Darus dan bekas atlet olahraga SUKMA Pulau Pinang, arwah Izzali Ismi Ishak.

Shukor maut akibat kemalangan jalan raya di Kilometer 115 Lebuh Raya Utara Selatan pada 17 Mei 2017 ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Petani selepas tamat latihan di MSNPP Batu Uban lebih kurang 7 petang.

Manakala arwah Izzali pula, meniggal dunia pada 19 September 2017 di Jalan Bukit Gambir semasa beliau dalan perjalanan ke latihan,” jelas Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Setiausaha Persatuan Berbasikal Pulau Pinang, Munir Mohd. Ismail hadir mewakili keluarga arwah Shukor manakala bapa kepada arwah Izzali, Ishak Che Long hadir sendiri menerima bayaran tersebut.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI