Temasya Bagan @Butterworth Art Walk ketengahkan konsep mesra keluarga & santai ilmu, ke arah bandar berdaya huni – Rozali

PERAI – Program Temasya Bagan @Butterworth Art Walk yang diinspirasikan menerusi Car Free Evening dirasmikan dengan jayanya pada 13 Oktober lalu oleh Yang DiPertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Temasya yang menjadi salah satu platform kepada komuniti dengan mengetengahkan konsep mesra keluarga dan santai ilmu ini turut menyajikan pelbagai komponen kesedaran dan pembelajaran sama ada dari segi budaya mahupun warisan tempatan.

Dianjurkan dengan kerjasama Think City Sdn. Bhd. dan juga Zart Eventive ini akan diadakan pada hari Sabtu ketiga bermula Oktober 2018 sehingga Disember 2019 di Lorong Bagan Luar 2, Butterworth.

Difahamkan, sambutan setiap bulan itu akan memaparkan tema tertentu seperti Deepavali, Hari Natal, Tahun Baru dan sebagainya.

SR. Rozali Mohamud.

Menurut Rozali, penganjuran temasya ini juga adalah selaras dengan matlamat MPSP dalam menjadikan Seberang Perai sebagai bandar rendah karbon dan pintar menjelang 2022.

“(Hubungan kerjasama) rakan strategik  ini amatlah penting bagi kita (MPSP) untuk menjayakan sesuatu perancangan.

“Pihak MPSP amat mengalu-alukan rakan-rakan yang berkemahiran untuk tampil ke MPSP bagi membuka kawasan seni ini dengan lebih banyak pengisian dan diharap ia mampu meremajakan semula bandar Butterworth ini ke arah bandar berdaya huni di Pulau Pinang,” ujarnya ketika berucap merasmikan acara berkaitan di sini.

Turut berucap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees.

Selain bengkel kraf dan muzik, turut diadakan sempena temasya tersebut, car boot sale, persembahan pentas, pasar bergerak FAMA, Art Market, Art Kiddo, makan sakan dan pemeriksaan gigi percuma.

Dalam pada itu, Rozali turut menyatakan hasrat MPSP dalam meremajakan semula bandar Butterworth, iaitu dengan memperkenalkan Smart Consumption Model 8R (rethink, refuse, reduce, re-use, repair, re-gift, recover and recycle) yang mana intipatinya untuk memaksimumkan kitar semula, meminimakan sisa lebihan, mengurangkan penggunaan dan memastikan setiap barangan yang dihasilkan boleh dikitar semula, dibaiki, dikitar dan dikomposkan.

 

Oleh : YUSNINA MOHAMAD YUSOF
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI