Hasil negeri meningkat 113.54% pada tahun 2021 – Ketua Menteri

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang berjaya mengutip hasil berjumlah RM574.56 juta sehingga Oktober 2021 iaitu meningkat sebanyak 113.54 peratus berbanding RM467.28 pada 2020 meskipun masih berdepan cabaran penularan pandemik COVID-19.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa peningkatan kutipan hasil yang diperoleh adalah susulan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi meningkatkan hasil cukai tanpa membebankan rakyat terbanyak.

Beliau berkata, antara langkah yang diambil adalah dengan meningkatkan pemantauan tunggakan oleh Jawatankuasa Tunggakan Hasil Negeri dan Jawatankuasa Hasil di peringkat jabatan.

“Selain itu, pemantauan terhadap kutipan tunggakan hasil tanah oleh pasukan petugas khas yang diwujudkan di peringkat Pejabat Daerah dan Tanah selain tindakan perampasan bagi cukai tanah adalah melebihi RM10,000 atau lima tahun ke atas bagi amaun yang rendah.

“Malah, Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan pengkelasan tanah desa kepada tanah bandar dengan mengubah beberapa kawasan desa yang semakin maju dan berkembang setaraf dengan bandar.

“Bukan itu sahaja, kita juga melaksanakan alternatif hasil Kerajaan Negeri selain cukai tanah dan premium yang berkaitan dengan pengurusan tanah serta tidak bukan tanah,” katanya pada sesi soalan lisan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong berkata bahawa Kerajaan Negeri turut mengambil langkah-langkah yang perlu bagi menangani peningkatan perbelanjaan emolumen dan perkhidmatan dan bekalan pada setiap tahun.

“Kerajaan Negeri bertindak mengawal pewujudan jawatan-jawatan baharu agar peningkatan peruntukan emolumen dapat dikawal dengan sewajarnya.

“Kita juga telah melakukan kawalan dalam perbelanjaan peruntukan mengurus jabatan-jabatan negeri bagi mengelakkan pembaziran.

“Antaranya adalah menggunakan premis kerajaan untuk anjur kursus, bengkel dan seminar, menggunakan perjalanan udara tambang murah menggunakan syarikat penebangan milik negara serta kawalan terhadap aset kerajaan.

“Peroleh Kerajaan Negeri pula dilakukan selaras prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) selain kaedah perolehan diamalkan secara telus dan terbuka sekali gus memberi nilai optimum dan berbaloi bagi perbelanjaan yang dilakukan.

“Pembiayaan untuk projek atau program juga dikawal agar keutamaan diberikan kepada perbelanjaan yang benar-benar perlu sahaja seperti Program Bantuan Khas (Penang Lawan COVID-19) bagi membantu rakyat yang terjejas,” ulasnya yang merupakan Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD